Jalil Hamid Seniman Banyak Sumbangan Pada Dunia Seni Tanah Air – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah atas pemergian pelakon dan penyanyi veteran Jalil Hamid pada 4 Mei 2026. Foto X Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 4 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah atas pemergian pelakon dan penyanyi veteran Jalil Hamid hari ini.
Menerusi hantaran di media sosial, Anwar menyifatkan Allahyarham sebagai seniman yang banyak menyumbang kepada dunia seni tanah air dan pemergian itu merupakan kehilangan besar kepada industri kreatif negara.
“Jasa dan legasinya akan terus dikenang. Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham.
“Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi saat yang sukar ini,” ujar Anwar yang berdukacita atas pemergian artis serba boleh itu.
Jalil atau nama sebenarnya Abd Jalil Abd Hamid meninggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor jam 12.30 tengah hari tadi pada usia 69 tahun akibat penyakit bengkak pada jantung.
Menurut anak allahyarham, Afiqah, bapanya yang berumur 69 tahun itu disahkan menghembuskan nafas terakhir di rumah mereka setelah menerima panggilan daripada ibunya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21, kira-kira 5.50 petang dihadiri kaum keluarga dan rakan artis termasuk Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac.
Allahyarham merupakan anak ketiga daripada lima beradik dan dilahirkan pada 25 April 1957, di Kampung Kuala Masai, Masai, Johor Bahru, Johor.
Beliau dibesarkan di Felda Cahaya Baru, Masai, Johor dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan L. K. T. P. Kong Kong yang kini dikenali sebagai Sekolah Rendah Kebangsaan Felda Cahaya Baru, Masai, Johor dan Sekolah Agama Negeri Johor Felda Cahaya Baru.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
