Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengadakan pertemuan tertutup dengan warga AKPS Bukit Kayu Hitam susulan insiden tembakan ke atas Komander Bukit Kayu Hitam, Mohd Nasaruddin M Nasir pada 25 Februari 2026. Foto Bernama

PENDAPAT, 26 Feb – Menjadi antara tulang belakang utama negara dari segi kawalan sempadan dan pertahanan negara, kejayaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sepanjang 14 bulan penubuhannya membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh keselamatan sempadan negara.

Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai operasi bersepadu dilaksanakan bagi mengekang aktiviti penyeludupan barangan kawalan, dadah, rokok, minuman keras serta penyeludupan migran yang memberi impak besar kepada hasil negara dan keselamatan awam.

Statistik rampasan yang meningkat serta penahanan sindiket rentas sempadan menjadi indikator jelas keberkesanan strategi penguatkuasaan yang lebih tersusun dan bersepadu, malah lebih penting menggerunkan pihak penyeludup.

Keberkesanan penguatkuasaan AKPS mula menjadi bualan orang ramai susulan insiden tembakan di Bukit Kayu Hitam pada 25 Februari 2026. Foto Bernama

AKPS bukan sahaja memperketat kawalan di pintu masuk utama, malah memperluas risikan dan rondaan di laluan tikus yang sering menjadi pilihan pihak berkenaan.

Kerjasama erat dengan agensi keselamatan lain turut memperkukuh keupayaan bertindak pantas terhadap ancaman.

Salah satu insiden yang mencuri perhatian ialah kejadian tembakan terhadap kenderaan komander AKPS di Bukit Kayu Hitam, lokasi strategik di sempadan Malaysia–Thailand. Insiden berani itu menggambarkan betapa serius dan agresifnya sindiket penyeludupan yang terdesak akibat tekanan operasi penguatkuasaan.

Namun, ia juga menjadi bukti bahawa tindakan tegas AKPS mula menggugat rangkaian jenayah terancang sehingga mendorong tindak balas berisiko tinggi termasuk ugutan terhadap pegawai malah hingga sanggup menembak pegawai-pegawai yang amanah dalam menjalankan tugas tanpa kompromi.

Terbaharu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata tangkapan terhadap suspek itu dibuat kurang 24 jam selepas kejadian.

“Proses soal siasat sedang dijalankan,” katanya di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan Siti Zailah Yusoff (PN-Rantau Panjang) berhubung keselamatan anggota keselamatan sempadan susulan kes tembakan itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketika ini proses soal siasat sedang dijalankan semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada 26 Februari 2026.

Dalam kejadian 5.40 pagi semalam, dua lelaki bermotosikal menghampiri Proton X70 dipandu Nasaruddin dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat subuh, sebelum melepaskan beberapa das tembakan.

Walaupun berdepan ancaman keselamatan, semangat anggota AKPS tidak luntur. Sebaliknya, insiden tersebut menyuntik iltizam lebih kuat untuk memperhebat operasi dan memastikan sempadan negara tidak mudah dibolosi.

Kejayaan demi kejayaan yang direkodkan sepanjang 14 bulan ini memberi mesej jelas bahawa Kerajaan MADANI serius memerangi ketirisan subsidi dan kegiatan jenayah rentas sempadan tanpa mengira siapa pun dalang di sebalik ‘percaturan’ jahat mereka.

Kita tidak pencapaian AKPS terbantut hanya kerana insiden tembakan berbaur ugutan yang dialami komander Bukit Kayu Hitam baru-baru ini kerana sebenarnya operasi yang dijalankan selama ini mencerminkan pendekatan penguatkuasaan yang semakin matang, berani dan berkesan.

Dengan momentum positif ini, agensi berkenaan diyakini mampu terus memperkukuh integriti sempadan negara demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat.

’Jalan teruih’ AKPS!

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *