Jalan Keluar Atasi Isu Buli Perlu Pendekatan Baharu

Hanya seorang ibu yang dapat merasai penderitaan ibu lain apabila insiden buli merebak menjadi perlakuan jenayah dan Nurul Izzah Anwar mententeramkan perasaan insan yang kehilangan anak tersayang. Foto Facebook Nurul Izzah Anwar

PENDAPAT, 20 Ogos – Isu buli yang hangat diperkatakan di seluruh negara tidak lagi terbatas di sekolah semata-mata, sebaliknya telah merebak ke institusi pengajian tinggi dan juga tempat kerja, sekali gus memberi kesan besar terhadap emosi, prestasi akademik serta produktiviti seseorang.

Kes menimpa allahyarham Zara Qairina Mahathir sebenarnya boleh dicegah dari awal lagi sekiranya semua pihak termasuk pengurusan sekolah, pejabat pendidikan daerah malah pihak berkuasa seperti polis dan pejabat daerah memantau rapat setiap pergerakan para pelajar, namun apakan daya, nasi sudah menjadi bubur.

Nampaknya kerajaan tiada cara lain selain memperkasa ekosistem yang lebih kondusif yang amat penting bagi menangani permasalahan ini secara menyeluruh.

Peguam keluarga Zara Qairina mohon Peguam Negara (AG) menangguhkan pendakwaan terhadap lima remaja dan mengenakan mereka dengan hukuman lebih berat.

Di peringkat sekolah, pihak pentadbiran perlu menyediakan sistem sokongan psikososial yang kukuh dengan penglibatan guru kaunseling, ibu bapa dan komuniti setempat.

Elemen pendidikan mengenai empati, nilai hormat serta penerapan Malaysia MADANI boleh dijadikan modul khas agar pelajar memahami bahawa buli bukan sahaja mencederakan mangsa, malah merosakkan imej sekolah serta masa depan mereka sendiri.

Mungkin pengenalan Akta Anti-Buli dan penubuhan tribunal khusus bagi menangani isu berkenaan boleh saja dibawa ke peringkat mana sekalipun, akan tetapi pendidikan dari segi moral dan agama merupakan langkah terbaik yang belum lagi dilaksanakan secara menyeluruh.

Sementara bagi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) termasuk IPT swasta pula, perlu diwujudkan saluran aduan yang telus dan melindungi identiti pelapor, di samping menghebahkan program kesedaran anti-buli di kampus.

Kenyataan media Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 18 Ogos 2025. Foto Facebook Jabatan Peguam Negara

Mahasiswa sebagai bakal pemimpin negara harus dididik bahawa budaya hormat dan toleransi adalah asas kepada kepimpinan berkesan.

Sementara itu, di tempat kerja, majikan mesti membina suasana kondusif dengan dasar sifar toleransi terhadap buli. Polisi dalaman yang jelas, latihan kesedaran untuk pekerja dan tindakan tegas terhadap pelaku menjadi kunci kepada kesejahteraan organisasi.

Sebenarnya semua pihak harus berganding bahu memperkasa ekosistem bebas buli yang secara langsung atau tidak, berupaya meningkatkan keharmonian sosial, melahirkan generasi berkeyakinan tinggi serta memastikan produktiviti di semua peringkat dapat dipertingkatkan demi kemajuan negara.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *