Isu Tarif AS Dorong Ringgit Ditutup Rendah

Pada 6 petang 24 Februari 2026, ringgit susut kepada 3.8915/8980 berbanding dolar AS daripada 3.8885/8925 ketika ditutup pada 23 Februari 2026.

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa susulan kebimbangan berkaitan isu tarif AS yang menjejaskan sentimen pasaran, kata ahli ekonomi.

Bagaimanapun, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama dunia dan negara ASEAN.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 3.8915/8980 berbanding dolar AS daripada 3.8885/8925 ketika ditutup semalam.

Pada jam 8 pagi 24 Februari 2026, ringgit mengukuh kepada 3.8790/9010 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada paras 3.8885/8925 ketika ditutup pada Isnin 23 Februari 2026.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Presiden AS, Donald Trump, tidak menunjukkan tanda-tanda untuk memperlahankan pelaksanaan tarif, sebaliknya dilihat agresif mencari saluran perundangan lain bagi mengenakan kadar lebih tinggi selepas Mahkamah Agung Amerika Syarikat membatalkan dasar tarif beliau yang berasaskan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA).

“Oleh itu, tahap ketidaktentuan pasaran meningkat walaupun terdapat kelegaan sementara susulan keputusan Mahkamah Agung itu,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata ringgit bergerak dalam jajaran kecil berbanding dolar AS sepanjang dagangan hari ini.

Enam daripada sembilan hakim Mahkamah Agung AS menolak tarif Trump dengan alasan tidak berpelembagaan pada 20 Februari 2026. Foto AFP

Terdahulu, ringgit mencecah paras 3.87 berbanding dolar AS pada 3.8790/9010, iaitu paras yang kali terakhir dilihat pada 13 April 2018 apabila dicatatkan pada 3.8785/8815.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama. Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.4968/5011 daripada 2.5120/5147 ketika ditutup semalam, serta meningkat berbanding euro kepada 4.5873/5950 daripada 4.5888/5935.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.2531/2619 daripada 5.2526/2580 sebelum ini.

Mata wang tempatan turut diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN. Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0726/0780 daripada 3.0727/0761 ketika ditutup pada Isnin, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 231.2/231.7 daripada 231.4/231.7, serta mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.74/6.75 daripada 6.75/6.76 sebelumnya.

Namun, ringgit merosot berbanding baht Thailand kepada 12.5463/5726 daripada 12.5342/5532 semalam. – Bernama

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *