Isu Saham Heitech Padu: PM Anwar Akan Rujuk Perbendaharaan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri di Masjid Ashabus Solihin, Taman Rakan, Kajang hari ini. Foto Kamarul
KAJANG, 27 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merujuk Jabatan Perbendaharaan mengenai dakwaan oleh bekas pemimpin UMNO, Isham Jalil wujud kebimbangan pelanggaran undang-undang dalam pembelian saham HeiTech Padu Bhd dianggarkan bernilai RM40 juta.
“Saya akan rujuk dengan (Jabatan) Perbendaharaan untuk mendapatkan maklumat lengkap sebelum mengeluarkan kenyataan lebih lanjut,” katanya kepada media selepas majlis berbuka puasa di Masjid Ashabus Solihin, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Isham yang mahu ahli perniagaan, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak disiasat atas dakwaan pegangan saham dalam syarikat yang disenarai pendek memperoleh kontrak kerajaan bernilai RM1 bilion.
Khamis lalu, Isham membuat laporan polis menggesa siasatan atas dakwaan berkenaan.

Sebelum itu, Farhash melalui surat tuntutan memberikan tempoh tujuh hari kepada Isham untuk menarik balik kenyataannya di media sosial mengenai laporan bahawa dia adalah pemegang saham utama sebuah kontraktor kerajaan.
Farhash juga menuntut Isham memohon maaf secara terbuka berhubung kenyataan yang disifatkannya sebagai fitnah.
Isham bagaimanapun enggan menarik balik kenyataannya dan meminta bekas setiausaha politik Anwar ketika menjadi Ketua Pembangkang itu mendedahkan dana pembelian saham.

Pada majlis hari ini, Anwar menghadiri program agihan 1,000 pek bubur lambuk kepada penduduk sekitar Taman Rakan Sg Long, di sini.
Anwar yang hadir bersama anaknya, Nurul Izzah turut meluangkan masa beramah mesra bersama penduduk sebelum berbuka puasa.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
