Isu Roti Gardenia: Bukti Pemimpin Pas Tidak Hormat Maruah Rakyat Sabah

Abul Jais Ashfaq Ahmed sifatkan penghinaan menggunakan kata-kata sedemikian juga adalah satu bentuk penghinaan kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa disedari pemimpin Pas berkenaan.
PENDAPAT, 14 Nov – Kenyataan yang dibuat seorang Adun Pas bertaraf Exco kerajaan negeri Kedah dengan jelas tidak menghormati, malah memperlekeh maruah rakyat Sabah dengan menyatakan sokongan mereka boleh diraih hanya menerusi ‘pemberian’ roti Gardenia.
Tindakan sedemikian bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah memberi persepsi negatif rakyat Sabah terhadap rakyat di Semenanjung yang tidak ada kena-mengena dengan kenyataan biadab pemimpin Pas itu.
Penganalisis menyifatkan kenyataan itu tidak mencerminkan akhlak dan keperibadian seorang pemimpin apatah lagi daripada sebuah parti kononnya memperjuangkan Islam.

“Saya melihat kenyataan Adun Kuala Ketil, Mansor Zakaria itu bersifat penghinaan dan dengan jelas menunjukkan Pas dan PN (Perikatan Nasional) memandang rendah maruah orang Sabah yang hanya disamakan dengan nilai sebuku roti.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja mencetuskan kegusaran awam malah menimbulkan persepsi negatif kononnya orang Semenanjung berbuat begitu sedangkan ia hanyalah kenyataan tidak bertanggungjawab seorang pemimpin Pas dari Kedah,” ujarnya.
Tambah Abul Jais Ashfaq Ahmed, penghinaan menggunakan kata-kata sedemikian juga adalah satu bentuk penghinaan kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa disedari pemimpin Pas berkenaan.

Mansor, yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, ketika sidang DUN dua hari lalu mengungkapkan ayat: “Orang Sabah tu kempen dia bagi roti Gardenia ja” hingga tular di media sosial sejak semalam.
“Walaupun telah memohon maaf, kita tidak yakin dengan keikhlasan beliau kerana bukan sekali pemimpin Pas melakukan tindakan sedemikian dan apabila didesak orang ramai, barulah memohon maaf.
“Ia merupakan satu lagi titik hitam dalam sejarah negara kerana dalam perbahasan sidang DUN sepatutnya membahas isu meningkatkan ekonomi rakyat dan bukannya memperlekehkan maruah rakyat negeri lain,” ujarnya lagi.
Difahamkan tindakan berkenaan juga mendapat kecaman pemimpin PN sendiri yang dilihat terpaksa menjawab sindiran dan kemarahan yang dicetuskan Mansor itu.
Antaranya Ronald Kiandee yang menyifatkan kenyataan Mansor yang digelarnya ‘Exco Roti Gardenia’ itu sebagai palui (bodoh) dan memalukan diri sendiri.
Insiden memalukan ini wajar diambil iktibar dan pengajaran kepada semua pihak agar tidak sesekali menghina rakyat negeri lain apatah lagi jika pemimpin berkenaan mengaku beragama Islam dan mempunyai akhlak mulia.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

