Isu Pemilikan TikTok Pelajar Bawah 13 Tahun Akan Dibincang Bersama Kementerian Komunikasi

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengadakan pertemuan bersama Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Kedah serta Cabang Merbok dan Sungai Petani pada Ahad. Foto Facebook Fadhlina Sidek
BAYAN LEPAS, 4 Feb – Isu berkenaan pemilikan akaun Tik Tok milik pelajar berusia bawah 13 tahun akan dibincangkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Komunikasi.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pihaknya perlu memohon penyelarasan daripada kementerian tersebut terlebih dahulu sebelum sebarang garis panduan berkenaan perkara itu dikeluarkan.
“Kita minta penyelarasan daripada Menteri Komunikasi. Sebab saya perlukan maklumat daripada beliau, supaya kita boleh tengok kesan dan impaknya kepada anak-anak.
“Saya pasti ada panduan yang perlu dipatuhi bagi memastikan kawalan iti berlaku khususnya daripada ibu bapa”, kata Fadhlina selepas menghadiri majlis apresiasi Tabika KEMAS Daerah Barat Daya dan Timur Laut, di sini.

Pada majlis berkenaan, Fadhlina turut menyampaikan Anugerah Kanak-Kanak Cemerlang Tabika KEMAS Daerah Barat Daya dan Timur Laut kepada 107 penerima.
Terdahulu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, isu tersebut merupakan antara yang dipertimbangkan untuk diutarakan kepada pengurusan Tik Tok.
Ia susulan terdapat sedikit kebimbangan berhubung perkara tersebut selain garis panduan komuniti media sosial berkenaan menggariskan kanak-kanak bawah usia 13 tahun tidak dibenarkan untuk membuka akaun di platform berkenaan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
