Isu Lambakan Pekerja Asing, PATI Wajar Dinoktahkan Segera – Abul Jais

Pemimpin KEADILAN Perak, Abul Jais Ashfaq Ahmed berkata, langkah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) diharap dapat meredakan isu lambakan warga asing yang dianggar melebihi 2.7 juta. Foto Facebook Abul Jais
IPOH, 8 Mac – Beberapa keputusan kerajaan kebelakangan ini berkait dengan isu pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) diharap menjadi noktah dan mekanisme penyelesaian kepada permasalahan yang membelenggu rakyat Malaysia puluhan tahun lamanya.
Mengulas perkara itu, pemimpin KEADILAN Perak, Abul Jais Ashfaq Ahmed berkata, langkah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) diharap dapat meredakan isu lambakan warga asing yang dianggar melebihi 2.7 juta orang setakat Disember tahun lalu.
“Saya berharap kerajaan dapat memikirkan mekanisme sesuai untuk memastikan penggunaan teknologi baharu, automasi selain melahirkan bakat-bakat tempatan bagi memenuhi keperluan industri bagi menangani lambakan pekerja asing yang menjadi punca kepada isu sosial dan ekonomi rakyat.
“Ini juga memastikan pengaliran keluar wang ke negara asing dapat dikurangkan secara drastik serta memberi peluang kepada rakyat tempatan menceburi bidang 3D yang dimonopoli warga asing ekoran kadar upah yang rendah.

“Saya menyokong langkah kerajaan memperkenalkan program dan pengenalan undang-undang seperti anti-Ali Baba yang secara tidak langsung akan dapat membantu membendung kemasukan pekerja asing atau PATI ke negara ini dalam jangka masa sederhana,” katanya.
Jelas Ketua Cabang KEADILAN Beruas itu lagi, KDN dan KESUMA serta agensi berkaitan juga berperanan mengkoordinasi serbuan yang dijalankan oleh agensi penguatkuasa seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan isu ini dapat dinoktahkan bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan negara.
Terdahulu, KDN melancarkan Program Repatriasi Migran sehingga 31 Disember depan, bertujuan membenarkan PATI pulang ke negara asal secara sukarela.
Mengulas program itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata langkah itu sekaligus mengurangkan jumlah keberadaan PATI di Malaysia, di samping mengimbangi elemen keselamatan serta menjana ekonomi negara.
“Melalui program ini, pengecualian pendakwaan diberikan kepada PATI yang hadir serah diri untuk pulang ke negara asal mereka. Setakat jam 12 tengahari hari 1 Mac, seramai 848 orang PATI sudah merdaftar untuk menyertai program Repatriasi Migran.
“Pendaftaran dan pelaksanaan Program Repatriasi Migran dikawal selia JIM sepenuhnya dengan perincian lanjut mekanisme pelaksanaan oleh Jabatan. Semua pihak perlu mengambil perhatian bahawa pelaksanaan program ini tidak melibatkan mana-mana pihak ketiga,” katanya baru-baru ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
