Isu Kandungan Haram: Kementerian Komunikasi Akan Jumpa Meta 22 September – Fahmi

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil merasmikan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Penanti pada 14 September 2025. Foto Mohamad Fauzi Md Isa
BUKIT MERTAJAM, 14 Sep – Susulan isu kandungan di pelantar media sosial, Kementerian Komunikasi akan mengadakan perbincangan dengan pihak Meta pada 22 September ini, kata Datuk Fahmi Fadzil.
Menteri Komunikasi itu berkata, perbincangan itu akan memfokuskan kepada masalah judi dalam talian di Facebook serta penyalahgunaan teknologi deepfake (palsu asli).
“Majoriti kandungan yang diturunkan di Facebook melibatkan aktiviti perjudian dalam talian, termasuk iklan serta hantaran berkaitan judi. Kandungan seumpama itu terlalu mudah ditemui dalam platform berkenaan.

“Aduan berhubung isu ini telah disampaikan sejak awal lagi, namun sekiranya satu iklan judi dibayar menggunakan kad kredit, Facebook sepatutnya mengambil tindakan bukan sahaja menurunkan iklan tersebut tetapi turut menyekat akaun kad kredit yang digunakan untuk membiayainya, memandangkan kandungan itu jelas dilarang di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Penanti di sini.

Kerajaan juga mengambil pendekatan dialog konstruktif bertujuan memastikan platform-platform media sosial terus bermanfaat dalam kalangan masyarakat di samping mencegah penjenayah daripada menyalahgunakan ruang digital untuk aktiviti haram.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
