Cerminan Jiwa Bangsa MADANI Terserlah Menerusi Festival Budaya Malaysia 2025 – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir merasmikan Majlis Perasmian Festival Budaya Malaysia 2025 di Taman Tasik Titiwangsa pada 13 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 14 Sep – Festival Budaya Malaysia 2025 yang berlangsung malam tadi disifatkan sebagai manifestasi kesatuan dan kekuatan negara yang berteraskan kepelbagaian budaya serta keharmonian masyarakat, jelas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berkongsi hantaran di Facebook sempena perasmian festival itu malam tadi, Perdana Menteri berkata, penganjuran yang diadakan di Taman Tasik Titiwangsa itu bukan sahaja mempersembahkan kepelbagaian warisan seni bangsa, tetapi turut menyerlahkan semangat perpaduan rakyat menjelang sambutan Hari Malaysia.

“Malam bertatah pesona budaya ini memperlihatkan denyut hati bangsa, menyatukan kerencaman dalam satu pentas yang memukau.
“Dalam gagasan MADANI, pembangunan insan harus seiring dengan jiwa budaya. Warisan pelbagai suku kaum tidak hanya diraikan, tetapi juga dimuliakan sebagai sumber ilham dan kekuatan bersama.

“Seni dan budaya kita menjadi lebih bermakna apabila teras Melayu berkembang harmoni bersama warisan Cina, India, Iban, Kadazan, Bajau dan lain-lain, menjadikan kerencaman ini jaminan keharmonian dan kelangsungan negara,” ujarnya.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Persembahan yang dipentaskan bercirikan Malaysia melibatkan gabungan tarian dan nyanyian pelbagai kaum berjaya menonjolkan keunikan budaya Malaysia kepada khalayak tempatan dan antarabangsa, menzahirkan kekaguman beliau serta kenamaan yang hadir.
“Saya benar-benar terpukau menyaksikan persembahan yang menjulang kerencaman budaya kita, yang bukan sahaja mempesona rakyat, malah mengundang kekaguman sahabat dunia,” ujarnya.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran acara tersebut dan berharap ia terus menyemarakkan semangat kebersamaan rakyat Malaysia.
Festival berkenaan dianjurkan bagi meraikan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan kempen promosi awal Tahun Melawat Malaysia 2026.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
