Isu Kafir Mainan Untuk Kaut Laba Politik Di Penghujung Ramadan

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menjadi sasaran fitnah akibat permainan pihak tertentu yang ingin mengaut laba politik hingga membuat laporan polis atas ugutan yang diterima. Foto Arkib

PENDAPAT, 31 Mac – Apa yang kita perlu sedar dan faham dalam isu perkataan kafir melibatkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang heboh diperkatakan sehari dua ini ialah beliau bercakap dalam konteks hubungan dengan masyarakat bukan Islam.

Beliau bukan bercakap tentang hukum agama, fardhu ain, teologi atau cuba menafikan kewujudan perkataan tersebut dalam Al-Quran.

Sebagai seorang Islam, menerima pendidikan berkaitan Islam di universiti dan kemudian terlibat dalam gerakan Islam, malah bapanya merupakan tokoh pendakwah dan pemimpin gerakan Islam yang dikenali ramai, sementara ibunya juga terlibat dalam pengajaran Islam di peringkat universiti, adalah mustahil Fadhlina tidak tahu perkataan kafir itu adalah kalam Allah yang memang terdapat dalam Al-Quran.

SERONOK MENCEMUH

Berbanding sebahagian mereka yang seronok mencemuh, harus kita sedari latar belakang dan roh Islam dalam diri dan keluarga Fadhlina barangkali jauh lebih tebal lagi.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menjadi sasaran fitnah akibat permainan pihak tertentu yang ingin mengaut laba politik hingga membuat laporan polis atas ugutan yang diterima. Foto Arkib

Sebab itu, wajib kita fahami konteks sebenar beliau bercakap mengenai perkataan kafir itu.

Konteks beliau bercakap ialah sebagai menjelaskan pertanyaan kawan-kawan anaknya yang berkata, “tak berkat kehidupan kita kalau bekerja dengan orang kafir”.

Fadhlina menyanggah pendapat tersebut dan cuba menjelaskan kekeliruan itu dalam konteks hubungan dengan masyarakat bukan Islam bahawa menggunakan istilah kafir itu mestilah dalam konteks yang betul.

Ia tidak boleh digunakan dalam konteks kebencian atau serangan secara langsung kepada mereka.

Misalnya, adalah lebih manis menyebut perkataan bukan Islam kepada mereka dalam sebutan ketika ucapan atau perbualan bila mana mereka hadir ke majlis atau ke rumah kita.

PERBUALAN HARMONI DENGAN BUKAN ISLAM

Tentulah tidak elok jika dalam majlis terbuka atau dalam perbualan harmoni dengan bukan Islam apabila kita secara berdepan memanggil mereka sebagai kafir.

Memanggil mereka kafir dengan niat kebencian atau untuk menunjukkan konnnya kita sangat Islam di depan bukan Islam pastinya bukanlah ajaran Islam yang sebenar.

Fadhlina Lapor Polis Isu Fitnah Perkataan ‘Kafir’

Islam itu penuh kasih sayang, suka persaudaraan dan sentiasa menggalakkan keharmonian sesama Islam dan juga dengan bukan Islam.

Apa pun istilah atau perkataan jika dengan niat kebencian, termasuk perkataan kafir, ia bukanlah sesuatu yang digalakkan oleh Islam.

Apa yang dimaksudkan oleh Fadhlina bahawa beliau tidak membenarkan anak-anaknya menggunakan perkataan kafir hanyalah dalam konteks kebencian tersebut dan bagi menjelaskan kekeliruan yang disuarakan akan kawan-kawan anaknya.

Ia tidak bermaksud sama sekali beliau menafikan perkataan kafir itu merupakan kalimah Allah yang merupakan wahyu dalam Al-Quran.

Malah, jauh sekali, seperti coretan beberapa pihak, kononnya Fadhlina cuba menafikan kandungan Al-Quran.

Lebih jahat, ia juga sama sekali tidak benar bahawa Fadhlina digambarkan seolah-tidak pernah membaca Al-Quran hanya kerana isu perkataan kafir yang cuba dijelaskan dengan niat baik itu.

Dalam hal ini, sedarkah kita, selain Fadhlina sendiri merupakan lulusan Undang-Undang dan Syariah Universiti Islam Malaysia dan merupakan seorang peguam syarie yang berpengalaman, ibu bapanya memang terlibat dalam gerakan serta pendidikan Islam, anak perempuan beliau pula adalah seorang huffaz yang berita kejayaannya menjadi tajuk berita media tidak lama sebelum ini.

Dengan itu, mana mungkin perkataan kafir boleh diharamkan dalam keluarganya?

Yang nyata, semua yang dikecoh-kecohkan ini adalah sekadar mainan politik di hujung Ramadan dan ia dimainkan hanya untuk mengaut laba politik semata-mata.

Kalau kita rajin menyelidik, Pas sendiri, termasuk Presidennya, dalam banyak ucapan yang boleh digali dengan bantuan google di media sosial turut kerap menggunakan perkataan bukan Islam dalam konteks hubungan dengan masyarakat bukan Islam.

Kenapa Pas sendiri tidak haramkan perkataan bukan Islam atau non muslim dan gunakan saja perkataan kafir sepanjang masa bila berkomunikasi dengan bukan Islam?

Oleh Noraini Nordin

Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *