Isu Jalur Gemilang Bukan Soal Ringan – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua pihak supaya berhati-hati dalam memaparkan ilustrasi bendera pada 17 April 2025 di Bangkok, Thailand. Foto Facebook Anwar Ibrahim
BANGKOK, 18 Apr – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesilapan ilustrasi bendera bukan kesalahan ringan kerana bendera adalah simbol penting kepada mana-mana negara.
Sehubungan itu, Perdana Menteri mahu semua pihak supaya berhati-hati dalam memaparkan ilustrasi bendera.
“Untuk mana-mana negara pun, soal bendera itu simbol yang sangat penting.
“Jadi saya nasihatkan supaya kita berhati-hati, tapi tentulah bagi ruang Sin Chew Daily bagi penjelasan atas kesilapan dan memohon maaf.

“Tetapi ini bukan soal ringan, biarlah proses undang-undang (dijalankan),” katanya pada sidang media selepas mengakhiri lawatan kerja beliau ke sini atas jemputan rakan sejawatannya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra pada Jumaat.
Beliau ditanya mengenai insiden paparan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit di muka hadapan akhbar berbahasa Cina tempatan, Sin Chew Daily, Selasa lalu.
Pada masa sama, Anwar meminta semua pihak tidak berlebihan dalam isu berkenaan.
“Saya juga beritahu supaya jangan nampak kita nak berlebih-lebihan hanya semata-mata kerana tuntutan, dia kena ikut proses undang-undang,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, akhbar berbahasa Cina itu memohon maaf atas kesalahan berkenaan sambil menjelaskan bulan sabit tidak kelihatan dalam ilustrasi terbabit disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
Semalam, Sin Chew Daily melalui kenyataan memaklumkan, dua pengarang kanannya iaitu Ketua Pengarang, Chan Aun Kuang dan Timbalan Ketua Penyunting, Tsai Shwu San digantung tugas berkuat kuasa serta-merta susulan isu itu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
