Iran Beri Amaran Kepada AS-Israel Perang Mungkin Lebih Panjang

Kemusnahan struktur bangunan akibat serangan Iran di tengah Tel Aviv dilapor penduduk sekitar pada 4 Mac 2026. Foto Yoav Loeff
TEHRAN, 8 Mac – Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) yakin pasukannya mampu berperang secara sengit selama enam bulan menentang Amerika Syarikat (AS)-Israel, walaupun gelombang serangan semakin hebat.
Tentera Israel turut melancarkan gelombang baharu serangan di seluruh Tehran semalaman, selepas melaksanakan serangan tepat menyasarkan komander utama Pasukan al-Quds, cabang operasi luar negara IRGC, di sebuah hotel di kawasan tengah Beirut yang popular dalam kalangan pelancong.
Kementerian kesihatan Lubnan memaklumkan serangan itu mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang di hotel berkenaan, di mana jurugambar AFP menyaksikan tingkap pecah dan dinding terbakar.

Tehran pula menuduh AS-Israel menyerang sebuah depot minyak di ibu negara pada Sabtu, serangan pertama dilaporkan terhadap infrastruktur minyak republik Islam itu ketika pasaran saham menjunam dan harga minyak mentah melonjak.
Tentera Israel turut mengakui ia menyerang sejumlah kemudahan penyimpanan bahan api di Tehran yang digunakan untuk mengendalikan infrastruktur ketenteraan.
Walaupun berdepan ancaman semakin hebat, IRGC pada Ahad menyuarakan keyakinan pasukan republik Islam mampu melancarkan ‘perang sengit’ selama enam bulan berdasarkan keadaan semasa.

Jurucakap IRGC, Ali Mohammad Naini, berkata Iran setakat ini menggunakan peluru berpandu generasi pertama dan kedua, namun akan menggunakan peluru berpandu jarak jauh yang lebih maju dan jarang digunakan dalam beberapa hari akan datang.
Ketua keselamatan Iran, Ali Larijani, menuduh pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, cuba meniru senario seperti di Venezuela yang menyaksikan pemimpin Nicolas Maduro digulingkan.
“Anggapan mereka adalah keadaan akan menjadi seperti Venezuela – mereka menyerang, mengambil alih kawalan dan semuanya selesai – tetapi kini mereka terperangkap,” katanya dalam wawancara rakaman yang disiarkan di televisyen.

Ketika konflik memasuki minggu kedua, kesan serantau semakin merebak, dengan Arab Saudi memintas gelombang dron yang menuju ke sasaran termasuk kawasan diplomatik di ibu negara Riyadh.
Kuwait memaklumkan satu serangan menghentam tangki bahan api di lapangan terbang antarabangsa negara itu, sekali gus menambah kebimbangan terhadap bekalan tenaga.
Ketua badan kehakiman Iran yang berhaluan kanan, Gholamhossein Mohseni Ejei, turut memberi amaran kepada negara jiran di Asia Barat yang secara terbuka atau secara rahsia berada di pihak musuh bahawa serangan berat akan dilancarkan terhadap aset AS di rantau itu.

Malah, Arab Saudi, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Kuwait pada Ahad semuanya melaporkan serangan baharu.
Arab Saudi berkata ia memintas lebih daripada sedozen dron, manakala Qatar memaklumkan Iran melancarkan dua peluru berpandu dan 10 peluru berpandu balistik ke arah negara itu pada Sabtu.
UAE pula memintas peluru berpandu dan dron yang masuk dari Iran, menurut kenyataan kementerian pertahanan negara itu di platform X.
Pada Sabtu, rakaman video menunjukkan satu projektil terhempas di lapangan terbang Dubai, manakala wartawan AFP mendengar letupan di Baghdad dan Erbil di Iraq pada Sabtu malam.

Israel turut melakukan serangan baharu selepas melancarkan antara serangan terbesar di Iran sejak perang bermula seminggu lalu, dengan menyasarkan akademi tentera, pusat kawalan bawah tanah dan tapak simpanan peluru berpandu.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata Israel hampir mencapai kawalan sepenuhnya terhadap ruang udara di ibu negara Iran.
Trump turut menggunakan nada tegas yang sama dengan mengulangi dakwaan bahawa Iran hampir membangunkan senjata nuklear.
Beliau juga mencadangkan bahawa tentera AS mungkin akhirnya diperlukan untuk mengawal stok uranium diperkaya milik Iran.
“Ini adalah perang yang sepatutnya tidak pernah berlaku kerana kesudahannya sudah jelas sejak awal lagi,” katanya pada sidang media. – AFP
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
