Iran Anggap Rundingan Damai ‘Tidak Munasabah’ Susulan Serangan Israel

Pasukan penyelamat mengeluarkan mangsa runtuhan bangunan di selatan Sidon, Lubnan selepas serangan rejim Israel pada 8 April 2026. Foto AFP
BEIRUT, 9 Apr – Seramai 254 orang terkorban dalam serangan Israel ke atas Lubnan semalam, hingga mencetuskan ancaman tindak balas daripada Iran, yang menyifatkan rundingan untuk mencapai perjanjian damai kekal dengan Amerika Syarikat (AS) sebagai tidak munasabah.
Susulan itu, Ketua Perunding Iran, Mohammed Bager Qalibaf, mengeluarkan amaran itu berikutan ketidaktentuan berterusan di rantau itu susulan pengumuman gencatan senjata oleh Presiden AS, Donald Trump pada Selasa.
Kedua-dua pihak mengemukakan agenda yang jauh berbeza bagi rundingan damai yang dijadual bermula Sabtu ini, namun tidak jelas sama ada gencatan senjata dua minggu itu dapat bertahan sehingga waktu berkenaan.
Qalibaf berkata, Israel melanggar beberapa syarat gencatan senjata dengan meningkatkan serangan terhadap Hizbullah, manakala AS pula melanggar perjanjian dengan mendesak Iran menghentikan cita-cita nuklearnya.
“Dalam keadaan sebegini, gencatan senjata dua hala atau rundingan adalah tidak munasabah,” katanya.
Bagaimanapun, Israel dan AS menyatakan gencatan senjata dua minggu itu tidak meliputi Lubnan dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan serangan akan diteruskan.
“Saya fikir pihak Iran menganggap gencatan senjata itu merangkumi Lubnan, tetapi sebenarnya tidak,” kata Naib Presiden AS, JD Vance, yang akan mengetuai delegasi AS.
Kedua-dua pihak juga dilihat masih berbeza pandangan berhubung program nuklear Iran iaitu antara satu faktor yang disebut Trump sebagai asas kepada peperangan.
Trump mendakwa Iran bersetuju menghentikan pengayaan uranium, yang boleh digunakan untuk menghasilkan senjata nuklear, dan Rumah Putih menyatakan Iran memberi isyarat akan menyerahkan stok sedia ada.
Bagaimanapun, Qalibaf menegaskan Iran dibenarkan meneruskan pengayaan uranium di bawah syarat gencatan senjata.
Walaupun kedua-dua pihak mengisytiharkan kemenangan dalam perang selama lima minggu yang mengorbankan ribuan nyawa, pertikaian utama masih belum diselesaikan.
Setiap pihak berpegang kepada tuntutan masing-masing bagi mencapai perjanjian yang berpotensi membentuk masa depan Asia Barat untuk beberapa generasi.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


