Infineon Tambah Pelaburan RM30.1 Bilion Bagi Besarkan Kilang Di Kulim

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua kanan) mendengar taklimat berkenaan produk ketika hadir ke Majlis Perasmian Kilang Infineon Kulim 3 di Kulim Hi-Tech pada Khamis.

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Syarikat semikonduktor global, Infineon Technologies AG (Infineon) mengumumkan pelaburan tambahan berjumlah lima bilion euro (RM30.1 bilion) untuk pembangunan Fasa 2 kilang fabrikasi kuasa silikon karbida 200-milimeter terbesar dunia di Kulim, Kedah.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia susulan daripada pelaburan awal sebanyak dua bilion euro (RM9.7 bilion) untuk pembangunan Fasa 1 kilang berkenaan.

“Kedua-dua Fasa 1 dan Fasa 2 ini masing-masing akan menjana 900 dan 600 pekerjaan bernilai tinggi di Malaysia.

Pelaburan Infineon Bukti Malaysia Penting Dalam Rantaian Semikonduktor Global – PM Anwar

“Secara keseluruhan, sebanyak 4,000 pekerjaan akan diwujudkan. Bangunan fabrikasi Kulim 3 ini turut menggabungkan kecekapan tenaga dengan amalan yang mampan,” katanya.

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendengar taklimat berkenaan produk yang dihasilkan gergasi teknologi itu ketika hadir ke Majlis Perasmian Kilang Infineon Kulim 3 di Kulim Hi-Tech, Kedah hari ini.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, Pembangunan kemudahan berkenaan menonjolkan kredibiliti negara yang semakin meningkat sebagai hab serantau untuk teknologi dan inovasi dalam ruang semikonduktor.

PM Anwar Sifatkan Pelaburan Tambahan Infineon Selaras Gagasan Ekonomi MADANI

“Kami sangat mengalu-alukan rakan kongsi jangka panjang yang komited seperti Infineon untuk meningkatkan kompleksiti ekonomi dan mendorong ke arah sifar bersih, seperti yang dibentangkan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

“Pelaburan tambahan RM30.1 bilion Infineon dalam teknologi pembuatan termaju ini bukan sahaja akan memacu inovasi dan agenda reformasi perindustrian kita, tetapi juga mewujudkan 1,500 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Pada suku tahun pertama 2024, industri semikonduktor negara menarik RM34.3 bilion pelaburan diluluskan melibatkan 34 projek untuk menjana 6,221 pekerjaan baharu.

Perkembangan ini sejajar dengan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS), yang telah menetapkan sasaran berani untuk menarik sekurang-kurangnya RM500 bilion pelaburan untuk industri semikonduktor dalam fasa pertama.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *