IEA Turunkan Unjuran Prospek Minyak, Namun Sektor O&G Kekal Bertahan

Harga minyak yang kekal tinggi serta kekurangan bekalan yang berterusan terus menekan permintaan hiliran, dengan sektor petrokimia mengalami penyusutan ketara didorong tekanan kemampuan dan kekurangan bahan mentah.

KUALA LUMPUR, 17 Apr – Sektor minyak dan gas kekal positif meskipun Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menyemak turun secara ketara unjuran permintaan minyak bagi 2026 daripada pertumbuhan 730,000 tong sehari kepada 80,000 tong sehari.

Penguncupan ini sekali gus mencerminkan gangguan bekalan terbesar dalam sejarah, menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).

Bank pelaburan itu berkata harga minyak yang kekal tinggi serta kekurangan bekalan yang berterusan terus menekan permintaan hiliran, dengan sektor petrokimia mengalami penyusutan ketara didorong tekanan kemampuan dan kekurangan bahan mentah.

“Pengeluar petrokimia di Asia telah mengurangkan kadar operasi berikutan akses terhad kepada nafta dan gas petroleum cecair (LPG).

“Ini sekali gus mengakibatkan peralihan struktur daripada lebihan bekalan kepada pasaran yang lebih terhad dan dipacu risiko berikutan kekurangan bekalan fizikal,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Bank itu berkata beberapa syarikat petrokimia utama telah mengisytiharkan ‘force majeure’, mencerminkan gangguan terhadap model rantaian bekalan ‘just-in-time’ tradisional.

Pengeluar di Korea Selatan, Singapura dan Indonesia dilihat paling terjejas kerana kekurangan bekalan minyak mentah domestik untuk memenuhi permintaan industri, selain bergantung tinggi kepada bahan mentah import.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *