Biarkan PN Bercakaran Sesama Sendiri, Kerajaan MADANI Terus Fokus Bantu Rakyat

Dalam kekalutan Perikatan Nasional (PN) bercakaran mencari pengganti Hamzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mencari jalan membantu rakyat walaupun menggunakan subsidi RM7 bilion bagi April 2026 tanpa mengira bila PRU16 diadakan. Foto Janaan AI

PENDAPAT, 17 Apr – Pertembungan dalaman Perikatan Nasional (PN) bagi menentukan pengganti Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat bukan lagi menjadi rahsia umum, sebaliknya sudah sampai ke peringkat ‘retak menanti belah’.

Pertembungan sesama sendiri itu bukan sekadar berpotensi menggugat kestabilan gabungan itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), malah menghakis keyakinan orang Melayu terhadap keupayaan gabungan itu mentadbir Malaysia jika mengambil kira pengalaman ngeri merampas kuasa secara ‘tebuk atap’ selama 33 bulan.

Perebutan jawatan penting ini bukan sekadar soal kepimpinan, tetapi mencerminkan ketidaksepakatan mendalam antara parti-parti komponen yang semakin sukar disembunyikan, malah makin membusuk hingga ke peringkat akar umbi dan ‘group WhatsApp’ penyokong dan pemerhati politik.

Beberapa nama besar dalam PN dikatakan sedang bersaing secara terbuka mahupun di belakang tabir, masing-masing cuba mendapatkan sokongan ahli Parlimen dan akar umbi. Situasi ini mencetuskan perpecahan kem, dengan wujudnya blok-blok kecil yang saling curiga-mencurigai antara satu sama lain.

Lebih memburukkan keadaan, perbalahan ini turut melibatkan pemimpin kanan seperti Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang, sekali gus memberi isyarat bahawa krisis ini bukan isu remeh yang boleh ditutup dengan daun nyiru.

Walaupun Abdul Hadi cuba meredakan keadaan kononnya proses mencari pengganti Hamzah tidak boleh diadakan tergesa-gesa kerana memerlukan penelitian rapi dan pandangan menyeluruh daripada semua pihak dalam blok pembangkang, tetapi pengalaman krisis politik Perlis yang berlarutan berbulan-bulan sehingga melantik Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN, tidak lagi boleh dijadikan sandaran.

Pertembungan Abdul Hadi Awang dengan Muhyiddin Yassin makin ketara berkenaan pelantikan ketua pembangkang apabila Abdul Hadi berkeras perkara itu akan dibuat menjelang sidang Dewan Rakyat Jun depan namun Muhyiddin Yassin ia perlu dibuat segera.

Sebaliknya Muhyiddin pula mahu memuktamadkan pengganti Hamzah kerana jelas bekas timbalan presiden Bersatu itu kini musuh politik nombor satu yang mesti disingkirkan secepat mungkin.

Ketika rakyat berdepan cabaran kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi, tumpuan PN terhadap perebutan jawatan dan berpolitik 24 jam dilihat tidak selari dengan keutamaan semasa rakyat. Persepsi awam terhadap gabungan itu juga boleh terjejas apabila mereka dilihat lebih mementingkan perebutan kuasa tak berkesudahan berbanding mementingkan kebajikan rakyat.

Keadaan ini memberi kelebihan kepada Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus membantu rakyat dengan pelbagai bantuan bersasar terutama dalam soal krisis bekalan tenaga global yang merentas setiap negara di dunia.

Tanpa mengira bila pilihan raya negeri atau umum, Anwar terus memfokuskan pentadbiran kerajaan MADANI melaksanakan mesyuarat hampir setiap hari menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) selain langkah intervensi membantu pesawah, nelayan dan petani di seluruh negara.

Amat mendukacitakan, apabila konflik ini berlarutan tanpa penyelesaian yang jelas, tidak mustahil PN akan berdepan risiko perpecahan yang lebih serius walaupun selepas Dewan Rakyat kembali bersidang pada 22 Jun depan.

Dalam konteks PRU16, kegagalan mempamerkan kesatuan dan kepimpinan kukuh boleh menjejaskan keyakinan pengundi. Akhirnya, pertempuran dalaman ini bukan sahaja melemahkan struktur parti, malah berpotensi menghancurkan peluang PN untuk kembali bersaing secara efektif di pentas nasional.

Tidak keterlaluan dikatakan, PN terus menuju ‘lubang hitam paling dalam’ tanpa mengira siapa pun yang akan menggantikan Hamzah kerana pembangkang sesi ini merupakan puak paling ‘lekeh’ yang tidak berguna di mata rakyat sejak hilang kuasa akibat kebebalan sendiri pada 24 November 2022.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *