Ibu Bapa Mahu Kerajaan Pertingkat Kawal Selia Had Umur Media Sosial

Ibu bapa menyambut baik cadangan pelaksanaan had umur penggunaan media sosial pada usia 16 tahun namun mahu kerajaan meningkatkan aspek kawal selia sebelum Julai tahun ini.
KUALA LUMPUR, 26 Jan – Keputusan kerajaan melaksanakan polisi had umur 16 tahun bagi menggunakan media sosial di negara ini sebagai langkah melindungi kanak-kanak dan remaja daripada risiko dieksploitasi serta terdedah kepada kandungan tidak wajar dalam talian, rata-rata menerima sambutan baik daripada ibu bapa.
Bagaimanapun mereka memohon agar kerajaan mempertingkatkan aspek kawal selia dan pematuhan penggunaannya kepada mana-mana platform media sosial sebelum dikuatkuasakan seawal Julai ini.
Menurut seorang bapa, Madzaral Sebalun, 49, beliau menyokong cadangan kerajaan itu kerana pada usia 16 tahun dianggap sudah mencapai tahap kematangan awal di mana remaja sudah mampu menilai baik dan buruk serta kesan penggunaan media sosial terhadap pemikiran mereka.
“Saya setuju kerajaan tetapkan had umur 16 tahun untuk membuka akaun media sosial. Ini mengambil kira pelbagai kandungan dalam platform tersebut yang tidak semuanya sesuai untuk kanak-kanak bawah umur.
“Pendedahan kepada kandungan negatif pada usia terlalu muda iaitu seawal 12 tahun atau sebelumnya boleh memberi kesan terhadap kestabilan emosi dan perkembangan mental anak-anak dan berharap kerajaan meningkatkan aspek kawal selia dari semasa ke semasa,” katanya.
Cadangan itu juga disokong Timbalan Dekan (Akademik dan Hal-Ehwal Pelajar), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Siti Aisyah Panatik yang berkata, langkah tersebut amat berkesan kerana kanak-kanak pada usia tersebut masih melalui fasa perkembangan identiti dan mudah dipengaruhi faktor luar seperti jumlah ‘likes’ dan ‘followers’ sekali gus menyebabkan mereka membentuk identiti berdasarkan penerimaan maya dan bukannya nilai dalaman.
“Perbandingan sosial yang tidak sihat boleh menyebabkan kanak-kanak kurang yakin terhadap diri sendiri. Mereka terlalu bergantung kepada pengesahan sosial sehingga menjejaskan perkembangan emosi,” ujarnya.
Terdahulu, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata perkara itu kini berada dalam fasa regulatory sandbox bagi membolehkan kerajaan menguji kaedah terbaik sebelum pelaksanaan penuh.
Langkah itu, katanya, dilaksanakan selaras dengan Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA), dan perbincangan dengan penyedia platform telah dimulakan bagi mengenal pasti pendekatan paling berkesan.
“Di bawah OnSA, kami telah memulakan perbincangan dengan penyedia platform. Sekarang ini, kita berada dalam fasa regulatory sandbox untuk mencari cara paling baik, berkesan, dan selamat bagi melaksanakan pengesahan umur. Buat masa ini, ia masih berada di peringkat perbincangan dan perancangan bersama penyedia platform.
“Ini merupakan sasaran kita untuk tahun ini. Seperti diumumkan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil sebelum ini, kita jangka pelaksanaan akan berlaku pada separuh kedua tahun ini, iaitu suku ketiga atau keempat,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



