Hindar Sifat Perkauman, Fahaman Agama Sempit Jadi Punca Perpecahan – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir bagi merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan di Angsana Johor Bahru Mall, malam ini. Foto Bernama

JOHOR BAHRU, 25 Mei – Fahaman perkauman dan agama yang sempit, selain semangat wilayah atau kenegerian keterlaluan hanya akan membawa perpecahan dan menanam kebencian, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mahu semua masyarakat menyelamatkan negara ini daripada terjerumus ke lembah kemusnahan yang berbahaya.

“Fahaman perkauman dan agama yang sempit, bukan membawa rahmah dan merapatkan bani Adam atau mengangkat martabat keinsanan tetapi hanya memecah-belah dan menanam kebencian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir bagi merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan di Angsana Johor Bahru Mall, malam ini. Foto Bernama

“Begitu juga (semangat) wilayah, kawasan atau fahaman kenegerian keterlaluan, sehingga menyebabkan kita kata negeri aku paling hebat, benci negeri lain.

“Saudara-saudara selamatkan negara ini. Bapa-bapa (pemimpin terdahulu) telah berjasa kerana usaha mereka menyatupadukan pelbagai kaum bermula di Tanah Melayu sehingga penubuhan Malaysia membabitkan pelbagai kaum dan suku-suku kaum, itu perlu dipertahankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan, di sini, malam ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan di Angsana Johor Bahru Mall, malam ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri, meminta generasi muda negara mengambil tanggungjawab bagi memastikan perpaduan dan keamanan negara terus dipertahankan.

“Tanggungjawab generasi muda, jangan anggap perkara ini (perpecahan, kebencian, kenegerian) satu ketentuan yang boleh diremehkan.

“Negara boleh bangkit kerana semangat perpaduan, negara juga boleh hancur kerana perpecahan dan fahaman perkauman keterlaluan.

“Belajarlah dari sekarang. Ini kekuatan kita (kepelbagaian kaum dan agama),” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *