Kerajaan Tidak Perkenal Cukai Baharu, Laksana Subsidi Lebih Adil Kepada Rakyat – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Konvensyen MADANI di sebuah hotel di Melaka hari ini. Foto Bernama

MELAKA, 25 Mei – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak mahu memperkenal intrumen percukaian baharu, sebaliknya melakukan penyasaran subsidi lebih adil dan menepati keperluan rakyat.

Perdana Menteri berkata penyasaran subsidi diesel yang diumumkan bakal dilaksanakan kerajaan sebelum ini mengecualikan golongan berpendapatan rendah seperti nelayan, pekebun kecil dan pemandu teksi daripada cukai itu.

“Saya tidak mahu perkenalkan instrumen percukaian baharu yang membebankan rakyat… tentang penyasaran subsidi diesel, diesel yang bocor ini melibatkan berbilion ringgit (dinikmati) orang kaya, perindustrian besar yang kerajaan masih berikan subsidi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga dari kanan) ketika hadir pada Majlis Konvensyen MADANI di sebuah hotel di Melaka hari ini. Turut hadir Ab Rauf (kanan). Foto Bernama

“Jadi penyasaran subsidi itu (tumpuannya) dikenakan kepada orang-orang kaya, industri besar dan warga asing. Para nelayan dan pekebun kecil, pemandu Grab dan teksi, semua dikecualikan… mungkin hampir sejuta rakyat dikecualikan daripada dikenakan cukai diesel,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap di Konvensyen MADANI yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Perdana Menteri menerusi Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung di semua saluran media tempatan Selasa lalu memaklumkan kerajaan akan melaksanakan subsidi diesel bersasar di Semenanjung yang membabitkan pengguna komersial B40 dan M40.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Konvensyen MADANI di sebuah hotel di Melaka hari ini. Foto Bernama

Beliau menegaskan subsidi bersasar tidak akan dinikmati golongan T20 serta 3.8 juta warga asing, sekali gus memberi penjimatan secara kasar kira-kira RM4 bilion setahun kepada kerajaan seterusnya boleh digunakan bagi menambah peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menggesa semua kementerian dan jabatan menjadikan slogan MADANI satu konsep yang dinamik selari dengan perkembangan teknologi, digitalisasi serta kecerdasan buatan (AI) dalam membangunkan negara.

Anwar juga menyentuh mengenai Persidangan Ekonomi Islam yang berlangsung pada 28 dan 29 Mei ini di Kuala Lumpur yang akan mengambil kira teras maqasid syariah iaitu skop lebih luas dan menyeluruh.

“Persidangan ekonomi itu akan melihat ekonomi Islam dari aspek maqasid yang lebih luas, bermakna bagaimana penyertaan rakyat, memperbaiki kesenjangan sosial, menggunakan peluang dan meneroka teknologi digital AI.

“Persidangan itu akan membawa satu pemikiran baharu yang saya anggap MADANI kerana ia membicarakan soal masyarakat, mencakupi semua bidang,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *