Hina Sahabat Nabi: Kabinet Serah Pihak Berkuasa Siasat, Kecam Kenyataan Nik Zawawi

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya pada 13 Mei 2026.
PUTRAJAYA, 13 Mei – Mesyuarat Kabinet dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam keras kenyataan dikeluarkan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Nik Muhammad Zawawi Salleh, yang disifatkan menghina sahabat Nabi Muhammad SAW dalam program ceramah politik di Kuala Terengganu, Ahad lalu.
Menurut Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil, polemik berkenaan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini dan tindakan Ahli Parlimen Pasir Puteh itu tidak boleh diterima sama sekali.

Mesyuarat kabinet juga memutuskan sebarang siasatan dan tindakan akan dikendalikan pihak berkuasa termasuk pihak berkuasa agama berkaitan kerana difahamkan terdapat beberapa laporan polis telah pun dibuat pelbagai pihak di seluruh negara.
“Jemaah Menteri dimaklumkan terdapat sejumlah laporan polis yang sudah dan sedang dibuat, maka kita serah kepada pihak berkuasa, terutama mungkin majlis atau jabatan agama berkaitan untuk melakukan siasatan.

“Bagaimanapun, sehingga sekarang, respon dalam media sosial itu sangat panas mengenai isu ini dan kita faham,” katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.
Isu berkenaan timbul apabila Nik Zawawi mengeluarkan pernyataan salah terhadap beberapa sahabat Nabi Muhammad SAW yang disifatkan menghina keperibadian sahabat Baginda yang mengundang kecaman umat Islam.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
