Hina PMX: KEADILAN Tambun Lapor Polis Terhadap Kakitangan Bank

KEADILAN Cabang Tambun membuat laporan polis terhadap individu yang didakwa menghina Perdana Menteri di media sosial pada 31 Oktober 2025.
IPOH, 31 Okt – Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Tambun membuat laporan polis berhubung penyebaran satu grafik menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa dimuat naik oleh seorang wanita dipercayai kakitangan sebuah bank dan tular di media sosial.
Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Tambun, Kalaimughilan Arjunan berkata, tindakan individu berkenaan yang memuat naik grafik menggambarkan Perdana Menteri berpakaian bendera Israel dan memakai pottu berunsur keagamaan Hindu dianggap sebagai satu bentuk penghinaan serius terhadap pemimpin nombor satu negara itu.
Menurutnya, penghinaan seumpama itu tidak wajar dilakukan oleh mana-mana pihak walaupun tidak menyukai kerajaan mahupun Perdana Menteri.

“Kami melihat perkara ini amat serius dan perlu dihentikan segera. Dalam sejarah pentadbiran negara, tidak pernah tahap penghinaan terhadap seorang Perdana Menteri setinggi ini seperti yang berlaku semasa pimpinan Datuk Seri Anwar.
“Sebab itulah kami mengambil keputusan untuk membuat laporan polis agar siasatan dapat dijalankan terhadap pelaku,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada Jumaat.
Laporan itu dibuat oleh Naib Ketua Cabang, R Elengovan yang turut disertai Ketua Cabang KEADILAN Tambun, Shamsul Kamar Ani serta beberapa ahli jawatankuasa cabang berkenaan.

Sementara itu, Kalaimughilan turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun terbabit bagi mengelakkan perkara sama berulang.
Tambahnya, Malaysia ialah sebuah negara demokratik yang menjamin kebebasan bersuara, namun ia mesti diamalkan secara berhemah dan tidak melampaui batas hingga mencemarkan nama baik pemimpin negara.
“Kalau ada pandangan atau kritikan terhadap kerajaan, gunakan cara yang betul. Berhujah dengan fakta dan prestasi, bukan melalui penghinaan.
“Negara kita mendapat perhatian dunia ketika Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini disebabkan Datuk Seri Anwar, tetapi rakyat kita sendiri menghina pemimpin negara,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

