Hina Mahkamah: Peguam Negara Tolak Permohonan Maaf Mona Din

Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar (kiri) berkata, pihaknya tidak menerima permohonan maaf aktivis itu atau nama sebenarnya Che Muna Din yang dikemukakan menerusi laman Facebooknya. Foto AGC

KUALA LUMPUR, 21 Sep – Permohonan prosiding komital terhadap aktivis Mona Din bagi penghinaan mahkamah berkaitan hantaran menyentuh inkues Zara Qairina Mahathir, tetap diteruskan meskipun beliau sudah mengemukakan pernyataan maaf, Jumaat lalu.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, pihaknya tidak menerima permohonan maaf aktivis itu atau nama sebenarnya Che Muna Din yang dikemukakan menerusi laman Facebooknya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak berhasrat untuk membatalkan notis tunjuk sebab bertarikh 10 September lalu yang dikeluarkan terhadapnya.

Che Muna Din diberi notis tunjuk sebab oleh AGC susulan hantaran media sosial yang didakwa bersifat menghina mahkamah berkaitan prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

“AGC mengambil maklum permohonan maaf tersebut serta tindakan beliau menurunkan hantaran berkenaan. Ia mungkin boleh menjadi faktor mitigasi kepada penama tersebut dalam proses mahkamah kelak.

“Memandangkan tindakan penama tersebut adalah berkait penghinaan proses mahkamah yang sedang berjalan, pihak AGC perlu mengambil tindakan tegas untuk mengelakkan isu penghinaan mahkamah ini diambil ringan dan terus dilakukan oleh mana-mana pihak.

“Dalam erti kata lain, AGC tidak dapat menerimanya (permohonan maaf beliau). Pihak jabatan akan berkomunikasi dengan peguamnya kelak,” ujar Mohd. Dusuki hari ini.

Peguam Negara Mohd. Dusuki ketika hadir di Mahkaman Persekutuan pada 28 April 2025. Foto Faisol Mustafa

Ketika ditanya sama ada permohonan perintah komital sudah difailkan terhadap Mona, Peguam Negara memaklumkan ia akan dibuat dalam tempoh terdekat.

Beliau ditanya tindakan lanjut agensi itu berhubung permohonan maaf yang dibuat Mona berhubung hantaran yang menyentuh inkues menyiasat punca kematian Zara Qairina yang dimuatnaik dalam laman Facebook pada 4 September lalu.

Dalam permohonan maafnya, aktivis itu berkata, beliau tidak pernah berniat untuk mempertikai atau mencampuri prosiding Mahkamah Koroner yang sedang berjalan ketika itu.

“Saya juga tidak mempunyai niat jahat untuk mempengaruhi pandangan serta persepsi masyarakat, apatah lagi Hakim Mahkamah Koroner yang sedang menjalankan prosiding inkues.

“Saya berjanji untuk tidak lagi membuat sebarang hantaran yang boleh dianggap mengganggu sistem keadilan dan menghina mahkamah,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Beliau turut memaklumkan bahawa hantaran itu telah dipadam pada 13 September lalu sekitar jam 6.18 petang.

– Oleh Norlizah Abas

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *