Hargai Keharmonian Negara, Waspada Iri Hati, Permusuhan – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Perjumpaan Bulanan Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Puspanitapuri, Putrajaya pada 12 November 2025. Foto Ahmad Yury
PUTRAJAYA, 12 Nov – Malaysia yang sedang meningkat maju perlu berwaspada dan bertahan daripada iri hati serta permusuhan, bukan sahaja dari luar, tetapi juga dari dalam negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menegaskan, keamanan dan keharmonian negara mesti terus dipelihara dengan saling menghormati dan memastikan keadaan politik kekal stabil.
Kedua-dua elemen berkenaan penting bagi memastikan negara terus bergerak ke hadapan dengan mengambil iktibar pergolakan di beberapa negara kini.

“Bayangkan mana-mana negara lain, di mana komposisi kaum, agama dan wilayah berbeza seperti Malaysia. Kita ini, ‘we take things for granted’ (kita ambil mudah).
“Tapi cuba kita renung negara mana di Asia, di Afrika, yang suku kaumnya berbilang. Semuanya kalau pun nampak relatif aman, tetapi goyah dan tidak mantap.
“Bagi kita setakat ini, Alhamdulillah. Jadi sebab itu saya kata, jangan buat andaian mudah. Jaga keharmonian ini. Sekali lagi saya tegaskan supaya kita renung, tengok negara Asia yang ada percaturan, pergaduhan antara masyarakat, antara kaum, antara mazhab, antara suku kaum, antara ideologi.

“Tetapi dalam kehangatan, suhu hangat itu orang tak fikir itu. Dia fikir nak bertempur. Dia tak fikir kesannya kepada negara. Jadi, negara harus aman. Politik harus stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.
Oleh itu, Anwar menyeru semua pihak untuk terus mempertahankan kestabilan, semangat perpaduan serta meneruskan tadbir urus yang baik.

Beliau berkata, keamanan dan kestabilan yang dinikmati Malaysia tidak boleh dipandang ringan kerana ia turut menjadi asas kepada keyakinan pelabur serta kesejahteraan sosial rakyat.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
