Ewon Salah Langkah, Salah Percaturan, Salah Semuanya

Tindakan Ewon Benedick yang tidak matang menyebabkan Pakatan Harapan (PH) berkemungkinan akan bertanding di kesemua kerusi UPKO pada PRU 16 yang dijangka diadakan pada 2027.

PENDAPAT, 12 Nov – Polemik tuntutan 40 peratus Sabah terhadap Kerajaan Persekutuan yang merupakan salah satu perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akhirnya menemui noktah susulan kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu selepas mesyuarat kabinet khas semalam.

Selam lebih 50 tahun, isu ini seolah-olah menjadikan perjanjian itu sebagai ugutan untuk menuntut segala hak dan mengejar kepentingan sesuatu di luar kerangka persetujuan asal semasa menyertai Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan penyelesaian tuntutan dalam MA63 perlu dilaksanakan melalui perbincangan dan rundingan rasional, bukan melalui konfrontasi, ‘berperang’ atau perselisihan.

Terkedu Ewon Benedick dan kesombongannya sendiri setelah ugutannya langsung tidak bernilai sama sekali bersama UPKO yang keluar daripada Pakatan Harapan (PH).

MA63 bukan instrumen politik, jauh sekali alat untuk menjadi senjata ‘mengilas tangan’ Pusat. Ia perjanjian mendapat pengiktirafan undang-undang tertinggi melalui Perlembagaan Persekutuan. Pelaksanaannya wajar diteruskan secara tertib, berasaskan rundingan berhemah dan komitmen bersama, bukan menggunakan ugutan atau tekanan secara terbuka.

Inilah yang tidak difahami Ewon Benedick yang ternyata membuat keputusan terburu-buru tanpa memahami kenyataan Perdana Menteri yang acap kali mengatakan komitmen untuk menyelesaikan tuntutan berkenaan sejurus pembentukan kerajaan negeri selepas PRU Sabah hujung bulan ini.

Ewon seharusnya mengambil peluang untuk bermuhasabah diri dan tidak menuding jari kepada pihak lain susulan keputusan kerajaan Persekutuan untuk tidak meneruskan rayuan berhubung isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah.

Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 11 November 2025.

Tindakan terburu-buru pemimpin kononnya mewakili rakyat Sabah dan berjawatan penting dalam kerajaan, menunjukkan ketidak matangan politiknya dengan sepatutnya menilai semula pendekatan serta kenyataannya, bukan menyalahkan orang lain atas keputusan yang dibuat secara kolektif oleh kerajaan.

Nasi sudah menjadi bubur, Ewon yang seolah-olah meletakkan kesalahan kepada pihak tertentu hanya menimbulkan kekeliruan dan perpecahan dalam kalangan rakyat Sabah.

Isu 40 peratus hasil negeri ini merupakan perkara kompleks yang memerlukan kebijaksanaan, kesabaran dan rundingan berterusan, bukan reaksi emosional atau tindakan yang bersifat populis.

Sebagai pemimpin dari Sabah yang berada dalam kerajaan hampir tiga tahun lamanya, beliau mempunyai ruang dan saluran yang sah untuk memperjuangkan hak negeri secara diplomatik dan berhemah seperti mana yang dilakukan Datuk Armizan Mohd Ali.

Sebaliknya, kenyataan serta tindak-tanduk beliau kebelakangan ini dilihat lebih kepada usaha mempertahankan imej politik peribadi daripada memperjuang kepentingan rakyat Sabah secara keseluruhan.

Apa yang rakyat mahukan bukanlah pertelingkahan politik, tetapi hasil nyata melalui perundingan konstruktif antara kerajaan negeri dan Persekutuan seperti yang dilakukan pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang lebih rasional serta memahami kekangan kerajaan memenuhi tuntutan yang sepatutnya dilaksanakan kerajaan terdahulu.

Peletakan jawatan Ewon tidak akan merugikan Kerajaan Persekutuan sebaliknya yang rugi adalah dirinya sendiri dan UPKO yang diheret ke dalam kancah permusuhan dengan Kerajaan Persekutuan.

Ibrarat sudah terhantuk baru terngadah, Ewon perlu kembali fokus kepada tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat dan bukan menuding kesalahan sendiri kepada pihak lain tanpa sesiapa pun memaksa beliau meletak jawatan menteri kabinet.

Muhasabah diri lebih bermakna daripada mencari kambing hitam dalam isu yang memerlukan kebersamaan dan kebijaksanaan politik.

Jadi jangan salahkan sesiapa tetapi salahkan diri sendiri serta para ‘punahsihat’ kelilingnya kerana tidak memahami apa pun tindakan dan inisiatif yang diketuai Datuk Seri Fadillah Yusof selaku penyelaras Majlis Tindakan Pelaksanaan Tuntutan MA63 (MTPMA63).

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *