Caj Masuk KL: ‘Tunggu Sistem Pengangkutan Awam Lengkap’ – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir merasmikan Terminal Bersepadu Gombak (TBG) pada 29 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 29 Sep – Pelaksanaan caj bagi kenderaan persendirian yang memasuki kawasan kota, hanya selepas rangkaian sistem pengangkutan awam negara berada pada tahap baik dan menyeluruh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata namun buat masa ini kerajaan belum bercadang mengenakan caj terbabit kerana menganggap ia membebankan.

“Sesetengah negara mengenakan bayaran lain untuk masuk ke kota… kita tak cadangkan itu, sebab ia mungkin membebankan.
“Namun jika lingkaran pengangkutan awam adalah menyeluruh dan baik di kota besar, maka harus memikirkan perkara itu,” katanya semasa berucap ketika merasmikan Terminal Bersepadu Gombak (TBG), di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Februari lalu, kerajaan menyatakan sedang mengkaji keberkesanan caj kesesakan dalam mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di ibu negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, dilaporkan berkata kajian itu antara lain bagi menilai keberkesanan mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya dan meningkatkan sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur.
– Oleh Suzalina Halid
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
