Hakim Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi Angkat Sumpah 28 Julai – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada majlis peluncuran Pelan Induk Bumiputera, Tunas MADANI dan Projek Perumahan JKPSB di Permatang Pauh pada 19 Julai 2025.
PERMATANG PAUH, 19 Jul – Lapan Hakim Mahkamah Rayuan dan 14 Hakim Mahkamah Tinggi yang baharu dijadual mengangkat sumpah pada 28 Julai ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, proses pelantikan itu telah melalui semua peringkat sewajarnya termasuk penilaian Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), perbincangan dengan Raja-Raja Melayu serta perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Ramai tanya saya kenapa tidak umum lebih awal. Saya tidak boleh jawab sewenang-wenangnya kerana proses pelantikan hakim membabitkan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Ia perlu melalui perbincangan bersama Raja-Raja dan setelah dipersetujui barulah dibawa semula kepada Agong untuk diperkenan,” katanya berucap pada majlis pelancaran Pelan Induk Bumiputera, Tunas MADANI dan Projek Perumahan JKPSB di sini, hari ini.
Anwar berkata, tiada hakim yang dipecat seperti mana digambarkan sesetengah pihak, sebaliknya proses pemilihan hakim baharu perlu dilaksanakan dengan teliti dan penuh hormat kepada sistem Raja Berperlembagaan.
Terdahulu media melaporkan Ketua Hakim Negara Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi akan mengangkat sumpah hujung bulan ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

