Gula Putih Kekal Tak Dikenakan Cukai – MOF

MOF mengulas laporan MSM Malaysia Holdings Berhad yang membangkitkan kebimbangan awam berhubung kesan cukai jualan ke atas gula mentah terhadap harga pasaran. Foto Arkib
KUALA LUMPUR, 20 Jun – Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan produk gula bertapis atau gula putih kekal tidak dikenakan cukai jualan walaupun selepas semakan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan berkuat kuasa bermula 1 Julai ini.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, MOF menegaskan kenyataan itu dibuat susulan laporan MSM Malaysia Holdings Berhad yang membangkitkan kebimbangan awam berhubung kesan cukai jualan ke atas gula mentah terhadap harga pasaran.
Menurut MOF, kerajaan mengambil pendekatan bersasar dengan tidak mengenakan cukai ke atas barangan keperluan utama rakyat seperti gula, garam, ayam, telur, daging, ikan, sayur-sayuran, minyak masak dan beras bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan pelaksanaan semula SST.
“Gula mentah yang digunakan dalam pengeluaran gula halus akan dikenakan cukai jualan sebanyak lima peratus. Namun, pengilang seperti MSM layak memohon pengecualian cukai atas bahan mentah dan input mereka,” kata MOF.
Justeru, menurut kementerian itu, tiada sebab untuk berlakunya sebarang kenaikan harga gula putih, memandangkan pengilang turut menerima insentif bulanan daripada kerajaan bagi menjamin kestabilan bekalan dan harga di pasaran.
MOF turut menjelaskan bahawa pengecualian cukai boleh dipohon menerusi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), seperti diperuntukkan di bawah Butiran 1, Lajur (2), Jadual B dalam Perintah Cukai Jualan (Orang Yang Dikecualikan daripada Pembayaran Cukai).
Gula merupakan antara barang kawalan dan keperluan asas rakyat bagaimanapun penggunaan secara berlebihan boleh menyebabkan penyakit seperti kencing manis dan komplikasi kesihatan lain.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

