GSF: Malaysia Akan Gerakkan Bantahan Keras Jika Konvoi Diganggu – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berinteraksi dengan peserta Sumud Nusantara ketika meninjau perkembangan terkini operasi Pusat Arahan Sumud Nusantara (SNCC) di Sepang, Selangor pada 30 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
SEPANG, 30 Sep – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Malaysia akan menyatakan bantahan keras dan menyeluruh sekiranya kapal misi kemanusiaan Sumud Global Flotilla (GSF) ke Gaza dipintas atau disekat oleh rejim Israel.
Jelas Perdana Menteri, Malaysia akan segera menggerakkan usaha diplomatik dengan rakan-rakan antarabangsa, termasuk negara yang telah mengemukakan usul berkaitan krisis Gaza.
“Saya akan hubungi semua rakan, termasuk negara-negara seperti Itali, Sepanyol dan Turkiye yang telah ke depan dalam menyatakan sokongan, selain mendapatkan dokongan daripada China,” katanya.

Anwar turut berinteraksi dengan kesemua 34 peserta negara dalam sidang media selepas meninjau Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) di ibu pejabat MAPIM di sini.
Anwar menambah, kerajaan akan menilai usaha yang sedang digerakkan oleh Perancis dan Arab Saudi yang telah menunjukkan inisiatif ke arah perdamaian, dan Malaysia akan berhubung secara rasmi dengan mereka dalam waktu terdekat.

Mengulas lanjut, Anwar berkata pertemuan akan datang dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump juga dilihat sebagai peluang penting untuk usaha agar serangan ganas ke atas Gaza dapat dihentikan, sekali gus menjamin hak kemerdekaan rakyat Palestin.
Katanya lagi, hubungan dengan negara-negara barat serta dunia Arab, termasuk AS tetap penting dalam usaha menyampaikan mesej dan desakan dunia terhadap penindasan yang berlaku.

“Rundingan dan gesaan supaya pimpinan khususnya AS terima kenyataan dan tuntutan masyarakat dunia (untuk hentikan peperangan di Gaza),” ujar beliau.
Kedudukan terkini konvoi sebanyak 45 buah kapal itu berada kira-kira 200 batu nautika dari pesisir pantai Gaza dengan jangkaan memasuki zon merah ketiga ialah pada jam 7 malam waktu Malaysia esok.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
