Google Salah Lapor Kadar Pertukaran RM6.24 Berbanding Dolar AS

Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan kadar pertukaran tidak tepat di enjin carian Google. Foto Arkib
KUALA LUMPUR, 6 Feb – Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan kadar pertukaran Dolar Amerika (USD) dengan Ringgit Malaysia (RM) yang tersebar di laman carian Google seperti yang tular di laman media sosial adalah tidak tepat.
Malah kata BNM kadar itu juga sebenarnya adalah berbeza berbanding data tidak tepat tersebut.
“Bagi USD/MYR, kadar pertukaran yang tidak tepat iaitu 6.24 telah dicatatkan melalui Google.
“Walau bagaimanapun, julat perdagangan tinggi dan rendah bagi USD/MYR yang dicatatkan dalam pasaran antara bank tempatan bagi ringgit adalah antara 4.7480 dengan 4.7630 pada 5 Februari, seperti yang disiarkan melalui laman sesawang BNM,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, BNM mengingatkan agar orang ramai berwaspada dan menggunakan sumber yang disahkan sebagai rujukan utama.
“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dalam menggunakan sumber yang tidak dapat disahkan sebagai rujukan berhubung dengan ringgit,”ujarnya.
Terdahulu, tular di media sosial apabila beberapa individu berkongsi tangkap layar kadar pertukaran terkini USD kepada RM pagi tadi.
Berdasarkan perkongsian tersebut, mereka mendakwa kadar pertukaran bagi 1 USD adalah bersamaan RM6.24.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
