Google Sah Akan Melabur AS$2 Bilion Di Malaysia

Pengurusan tertinggi Google mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang menyatakan komitmen melabur AS$2 bilion yang disahkan pada Selasa. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 30 Mei – Google menyatakan komitmen untuk melabur RM9.4 bilion (AS$2 bilion) untuk mewujudkan pusat data pertama dan wilayah Google Cloud di Malaysia.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan berkata, komitmen pelaburan baharu Google itu dijangka menyokong 26,500 pekerjaan merentasi pelbagai sektor di Malaysia termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan kewangan dengan jumlah impak ekonomi bernilai RM15.04 bilion (AS$3.2 bilion).
Menurut MITI, wilayah Google Cloud di Malaysia akan menyertai 40 wilayah dan 121 zon yang kini beroperasi di seluruh dunia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan awan di peringkat tempatan dan global, selain program celik AI (kecerdasan buatan) untuk pelajar serta pendidik Malaysia.

“Komitmen terbaharu oleh sebuah lagi gergasi teknologi global kepada Malaysia ini menjadi pencapaian penting dalam visi kerajaan MADANI untuk menarik lebih ramai pelabur digital ke negara ini, bagi membantu membina ekonomi yang dikuasakan oleh digital yang kukuh dan selamat.
“Peningkatan kapasiti dan kebolehpercayaan pada perkhidmatan awan akan menyokong pelbagai sektor termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan kewangan untuk mewujudkan dunia yang lebih terhubung dan berdaya tahan,” kata kenyataan itu.
Pengumuman MITI susulan komitmen terbaharu Google itu dibuat selepas beberapa siri libat urus kementerian itu membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan yang juga Ketua Pegawai Kewangan Alphabet dan Google, Ruth Porat.
Memorandum Persefahaman turut ditandatangani antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Google pada 14 November 2023.
Mengulas mengenai pelaburan baharu gergasi teknologi itu, Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pengumuman terkini Google membabitkan pelaburan RM9.4 bilion di Malaysia akan menyokong matlamat digital yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Pusat data Google dan wilayah Google Cloud di Greater Kuala Lumpur akan memperkasakan pembuatan dan industri berasaskan perkhidmatan Malaysia dengan memanfaatkan AI serta teknologi canggih lain bagi meningkatkan rantaian nilai global, dengan anggaran impak ekonomi bernilai RM15.04 bilion.
“Kami juga mengalu-alukan rancangan Google untuk membantu Malaysia membangunkan ekosistem bakat yang teguh dengan memudahkan pertumbuhan kemahiran digital, perniagaan dan kerjaya pekerja kita.
“Memandangkan komitmen ini menarik pelaburan selanjutnya, ia akan merangsang inovasi dan memacu pertumbuhan untuk organisasi dari semua saiz.
“Kami yakin perkongsian dan pelaburan berterusan Google akan mempercepatkan transformasi digital negara kita, menyumbang kepada visi MADANI ke arah Malaysia yang lebih makmur dan maju dari segi teknologi,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
