Global Sumud Flotila: ‘Fair Lady’ Berlepas Menuju Gaza

Para peserta GSF akan meneruskan perjalanan dari Tunisia menuju Gaza bagi membawa bantuan kepada rakyat yang kebuluran akibat sekatan rejim Israel.

FLORENCE, 11 Sep – Kapal Fair Lady yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dari Itali dijadualkan berlepas ke Gaza, hari ini selepas tiga kali penangguhan.

Pengarah Media Muslim Care Malaysia (MCM), Tuan Asri Tuan Hussein berkata, kapal berkenaan dijangka meninggalkan pelabuhan di Catania sebaik penganjur memuktamadkan senarai penumpang.

“Setakat pukul 8 pagi (waktu tempatan semalam), sebahagian peserta, termasuk rakan sebilik saya, Ahmad Safuan Ujar yang juga Setiausaha Agung MCM, masih belum menerima mesej pengesahan.

Para peserta GSF tidak patah semangat walaupun menerima khabar dua kapal diserang dron di perairan Tunisia selang 24 jam lepas.

“Jika tidak menerima mesej itu, bermakna mereka tidak terpilih menyertai pelayaran GSF ke Gaza,” katanya dalam satu hantaran di media sosial semalam.

Menurutnya, pengesahan penyertaan lazimnya dilakukan melalui mesej peribadi yang menyatakan nama penumpang bot masing-masing, namun proses itu memakan masa kerana penganjur perlu meneliti beberapa perubahan.

“Walaupun nama saya tersenarai sebagai penumpang Fair Lady, debaran belum hilang kerana proses kemas kini masih berlaku. Ini bermakna ada kemungkinan saya ditukarkan ke bot lain atau terkeluar terus daripada senarai,” katanya.

Kapal membawa bantuan makanan dan perubatan bergabung di Tunisia dari Barcelona, Sepanyol dan Catania, Itali sejak 31 Ogos 2025.

Tuan Asri memaklumkan kira-kira 14 sukarelawan dari Malaysia dan lebih 100 peserta antarabangsa kini menunggu arahan untuk memulakan pelayaran ke Gaza.

“Mudah-mudahan kami semua dapat belayar hari ini dan bergabung dengan flotilla lain dari Barcelona dan Tunisia,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, wartawan bebas, ZRA Strim atau nama sebenarnya Zainal Rashid Ahmad, menghadapi cabaran baharu apabila beliau dan anak perempuannya yang bertindak sebagai jurukamera disenaraikan dalam bot berasingan.

“Keadaan itu boleh menyukarkan tugasnya, namun beliau tetap berlapang dada dan menganggap cabaran ini sebahagian daripada misi,” jelasnya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *