Gendang PRK Bergema Lagi, Hadapi Tempias ‘Gelombang Hijau’ Dari Kedah

Kemenangan calon Perpaduan di Dun Kuala Kubu Baharu bulan lalu tidak boleh dijadikan sandaran kepada prestasi Kerajaan Perpaduan di Dun Sungai Bakap. Foto Arkib

PENDAPAT, 1 JunPertembungan sengit dijangka berlaku memandangkan lokasi PRK Dun Sungai Bakap pula sangat berdekatan di antara tiga negeri zon utara iaitu Kedah, Perak dan Perlis termasuk Kelantan.

Ia secara tidak langsung bakal menyaksikan semua kepimpinan tertinggi parti politik bertanding baik Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) dijangka turun padang bagi memenangkan calon parti masing-masing

Ironinya situasi PRK kali ini jauh berbeza malah dipercayai akan lebih sensasi berbanding perjalanan kempen PRK Dun Kuala Kubu Bahru di mana calon Pas tidak bertanding di sana sebaliknya wakil daripada parti Bersatu pula diturunkan.

Ini ditambah lagi Dun Kuala Kubu Bahru adalah kawasan tradisi yang menjadi milik parti DAP selama tiga penggal berturut-turut. Pun begitu keadaannya serupa di Kerusi Dun Sungai Bakap yang asalnya milik parti Harapan.

Namun begitu, rekod kemenangan PH sebelum ini telahpun jatuh ke tangan pembangkang menjadi milik Pas.

PRK kali ini dijangka yang bertanding juga adalah wakil daripada calon Pas dan semestinya kerusi Dun Sungai Bakap menjadi hak mutlak mereka untuk membolehkan mereka meletakkan calon buat kali kedua dalam PRK kali ini.

Dun Sungai Bakap akan menerima kehadiran ribuan ‘pelancong politik’ dari seluruh negara selepas SPR bermesyuarat pada 6 Jun ini.

Kebarangkalian bumi Seberang Perai Selatan (SPS) atau lebih tepat lagi Nibong Tebal akan terkena tempias ‘gelombang hijau’ sekali lagi dijangka masih tinggi dan ini pastinya akan sedikit menggusarkan kem blok parti Kerajaan Perpaduan.

Kemenangan PRK Dun Kuala Kubu Bahru tidak boleh dijadikan petunjuk sebenar akan kekuatan parti Perpaduan cuma yang boleh dikatakan ialah semangat setia kawan yang ditunjukkan sesama komponen parti kerajaan semakin terserlah terutamanya membabitkan beberapa pemimpin tertinggi Umno yang turun turun padang secara langsung selama 14 hari itu.

Kendatipun, di pihak pembangkang amnya akan sedaya upaya mempertahankan kemenangan yang dicapai semasa PRN yang lepas dan sebaliknya parti Perpaduan yang menjadi kerajaan negeri dan pusat akan berhempas pulas bagi memastikan kerusi Dun Sungai Bakap dapat dirampas semula daripada PN.

Untuk rekod kerusi Dun Sungai Bakap asalnya menjadi kubu kuat PH memandangkan Dun ini berada di dalam kawasan Parlimen Nibong Tebal di mana dua kerusi Dun telah dikuasai oleh Parti Harapan.

Salah satu daripadanya ialah di Dun Sungai Acheh. Akan tetapi malangnya PH tewas di Dun Sungai Bakap yang calonnya adalah wanita tunggal daripada parti KEADILAN.

Perkembangan mutakhir, belumpun lagi pimpinan pihak atas bersidang bagi membincangkan dan untuk menentukan nama calon untuk bertanding di PRK Dun Sungai Bakap, terdapat pula desas-desus di luar sana yang mengaitkan beberapa nama calon lain untuk diturunkan.

Kemenangan calon Perpaduan di Dun Kuala Kubu Baharu bulan lalu tidak boleh dijadikan sandaran kepada prestasi Kerajaan Perpaduan di Dun Sungai Bakap. Foto Arkib

Namun khabar angin yang bertiup kuat adalah di mana terdapat suara terbanyak menyatakan sokongan sekiranya bekas calon Dun Sungai Bakap yang tewas pada PRN lepas dicalonkan semula untuk bertanding.

Calon yang dimaksudkan itu ialah Nurhidayah Che Rus yang merupakan Ketua Wanita KEADILAN Pulau Pinang merangkap Pegawai Khas Pejabat Ahli Parlimen Nibong Tebal.

Menerusi sebuah portal pada Jumaat, difahamkan beliau menyahut cabaran dan bersedia sekiranya namanya dicalonkan sekali lagi untuk bertanding di kerusi Dun Sungai Bakap dengan harapan agar dapat menebus kekalahan lalu.

Persoalannya adakah calon yang dicadangkan itu boleh menjamin kemenangan parti Perpaduan sedangkan di pihak pembangkang tentunya akan mengumpulkan seluruh kekuatan jentera parti mereka yang cukup digeruni semasa PRN yang lalu terutama di kalangan anak-anak muda yang amat fanatik dan taksub membabi buta kepada Pas.

Dua nama dari KEADILAN bakal disenaraikan iaitu Nurhidayah Che Rus (kiri) dan Amar Pritpal Abdullah atau mana-mana calon bagi merampas kembali Dun Sungai Bakap daripada pembangkang Julai ini.

Ini kerana mereka dipercayai akan lebih ‘bersemangat’ kerana calon parti yang disokongnya itu bertanding di kerusi Dun Sungai Bakap yang menjadi ‘maruah’ mereka di negeri utara tanah air.

Bukan itu sahaja, PRK Dun Sungai  Bakap yang akan diadakan pada Julai depan akan menjadi ujian pertama buat YB. Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid selaku Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang untuk membuktikan kepimpinannya di dalam menerajui KEADILAN Pulau Pinang memandangkan beliau bukanlah datang daripada jalur aktivis politik kerana penyertaan awalnya semasa bertanding pada PRN lalu sekadar menjadi ‘bidan terjun’ sahaja.

Namun siapa menduga atau menyangka yang penyertaannya bertanding di Dun Batu Maung membawa tuah seterusnya diangkat namanya untuk dilantik sebagai timbalan kepada Chow Kon Yeow.

Walau bagaimanapun pada pengamatan penulis, PRK Dun Sungai Bakap bukanlah semata-mata untuk parti Perpaduan terutamanya Keadilan mahu merampas kerusi Dun Sungai Bakap akan tetapi ianya akan dilihat daripada sudut yang lain.

Pengaruh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow diharap dapat membantu jentera PRN Dun Sungai Bakap berikutan kekurangan pengalaman timbalannya biarpun daripada KEADILAN menggalas tugas yang amat berat merampas kerusi berkenaan.

Persoalannya adakah menjadi satu keperluan bagi mencorakkan semula struktur organisasi di pentadbiran kerajaan negeri yang membabitkan pemimpin KEADILAN memandangkan pemimpin KEADILAN negeri paling senior sudah tidak lagi berada dalam tampuk pentadbiran negeri?

Justeru, terpulanglah kepada pihak pucuk kepimpinan tertinggi parti Keadilan untuk menentukan tindakan selanjutnya dan siapakah antara calon-calon yang difikirkan ideal dan mempunyai potensi untuk dipilih bertanding di dalam PRK Dun Sungai Bakap nanti.

Sekian,

Pemerhati Bebas Politik


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *