Gabungan ASEAN, GCC Sepakat Rangka Pendekatan Alternatif Bantu Palestin – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Putra, Putrajaya pada 7 Jun 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA, 7 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, gabungan kerjasama antara ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan beberapa negara lain sedang berusaha mencari kaedah baharu bagi membantu perjuangan rakyat Palestin.
Ketika ditemui selepas solat sunat Aidiladha di Masjid Putra di sini, Perdana Menteri menjelaskan, gabungan sama juga sedang mencari pendekatan menerusi saluran diplomatik bagi tujuan berkenaan, termasuk membela hak yang sah, termasuk perjuangan di Gaza.
“Kita sudah sampaikan pandangan (mengenai penindasan ke atas Palestin) yang sudah diketahui (masyarakat antarabangsa) tetapi ini bukan upaya satu negara sahaja.

“Seperti kita lakukan dengan GCC baru-baru ini, kita ada kesepakatan ASEAN-GCC serta beberapa negara lain supaya memberikan penjelasan dan tekanan keras kepada dunia supaya menghentikan (penindasan ke atas Palestin).
“Sekadar kenyataan mereka (Amerika Syarikat, AS), mengecam serta menghantar dan menjual senjata kepada Israel, ini tindakan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan,” katanya.
Terdahulu pada Jumaat, Anwar memberitahu beberapa pemimpin dunia sepakat menghentikan keganasan dan menolak segala usaha menghalang bantuan kemanusiaan ke Gaza, selain mengutuk sekeras-kerasnya sikap ganas dan keras Israel.

Perkara itu katanya, dikemukakan pemimpin antarabangsa yang menguhubungi beliau sempena sambutan Aidiladha termasuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Presiden Iran, Masoud Pezeshkian dan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif.
“Kebanyakan perbincangan dengan ketua negara yang menghubungi sempena Aidiladha, sama ada Erdogan ataupun Pezeshkian dan Sharif, semua kita lahirkan sikap agak jelas mengenai Gaza.
“(Mereka mahu) menghentikan keganasan dan menolak segala usaha menghalang bantuan kemansuaian, selain mengutuk sekeras-kerasnya sikap ganas dan keras Israel,” ujarnya.

Terdahulu Anwar yang juga Pengerusi ASEAN diminta mengulas tindakan AS menggunakan kuasa veto bagi menghalang gencatan senjata kekal di Gaza.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
