Fungsi, Tugas, Objektif Dan Matlamat J-Kom Diselaraskan Semula – Fahmi

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ketika sidang media di Putrajaya hari ini. Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 3 Jan – Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bersetuju dengan saranan pemimpin Umno, Puad Zarkashi, supaya Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) dirombak, selepas mendakwa kewujudan komplot ‘Langkah Dubai’.
Beliau bagaimanapun berkata masih terlalu awal untuk mengumumkan sebarang perubahan, namun mengesahkan fungsi tugas J-Kom perlu ‘penyesuaian’.
“Memang kita lihat perlu ada penyesuaian beberapa fungsi tugas selaras dengan hasrat kerajaan untuk dilaksanakan agensi termasuk J-Kom.
“Saya boleh sedikit sebanyak setuju dengan pandangan itu (rombak J-Kom),” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

J-Kom yang sebelum ini berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) kini diletakkan bawah Kementerian Komunikasi mulai 13 Disember tahun lalu.
Minggu lalu, Timbalan Ketua Pengarah J-Kom, Ismail Yusop mendakwa wujud “Langkah Dubai” ketika percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) di Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi bagaimanapun menyifatkan dakwaan Ismail “cetek” dan menyebabkan kerajaan menjadi defensif, susulan beberapa nama dalam kerajaan disebut-sebut terbabit dalam gerakan itu.
Sebelum ini, Ismail dilaporkan mendakwa gerakan menumbangkan kerajaan perpaduan di Dubai turut membabitkan tokoh politik veteran berpengaruh yang bergelar Tun menggunakan dana asing.
Pertemuan itu didakwa bertujuan membahagikan tugas kepada “ejen” untuk mengenal pasti Ahli Parlimen yang boleh menukar sokongan kepada pembangkang bagi membentuk kerajaan baharu.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dilaporkan tahu mengenai “Langkah Dubai” sebelum individu terbabit mendarat di bandar raya itu, tanpa menamakan individu berkenaan.
Kelmarin, Ahli Parlimen Lipis, Abdul Rahman Mohamad membuat laporan polis berhubung tuduhan beliau bersubahat dengan pembangkang dalam usaha menjatuhkan kerajaan.
Timbalan menteri sumber manusia itu berkata, tuduhan jahat beliau terlibat “Langkah Dubai” sengaja direka untuk menimbulkan polemik dan mencetuskan kegelisahan rakyat.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
