TPM Ahmad Zahid Sahkan ‘Langkah Dubai’ Wujud

Ahmad Zahid ketika berada di Makkah bagi menunaikan umrah baru-baru ini. Foto Facebook Ahmad Zahid Hamidi
PUTRAJAYA, 2 Jan – Spekulasi mengenai wujud usaha pihak pembangkang mahu menumbangkan kerajaan menerusi Langkah Dubai disahkan sendiri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Malah, Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu mengakui beliau menerima laporan ‘perisikan’ berhubung perkara tersebut yang ‘panas’ sejak minggu lalu.
“Laporan dari segi ‘perisikan’ memang kami peroleh seawal penerbangan mereka sampai ke tempat itu, tetapi pada hemat kami, langkah itu membuang masa,” jelasnya berseloroh.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri itu menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Taklimat dan Penyelarasan Situasi Terkini Banjir, di sini hari ini.
Kehadirannya selepas pulang menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci semalam menjadi tumpuan media ekoran khabar angin berhubung isu plot Langkah Dubai akhir bulan lepas.

Ia didedahkan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti, Kementerian Komunikasi, Datuk Ismail Yusop bagi menggulingkan Kerajaan Perpaduan sepatutnya semalam.
Walau bagaimanapun usaha tersebut yang melibatkan beberapa pemimpin politik tertentu sewaktu percutian mereka di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu dikatakan telah gagal.
Percubaan ini dipercayai untuk menubuhkan kerajaan baharu secara ‘tebuk atap’ sebelum berlaku peralihan kepada Yang di-Pertuan Agong berikutnya menjelang awal bulan depan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid namun tidak mendedahkan sumber mana ‘perisikan’ maklumat itu malah tidak menyatakan siapakah tokoh politik yang menjadi dalang Langkah Dubai.
“Hanya mereka yang datang ke mesyuarat itu tahu,” katanya berjenaka apabila ditanya dan menegaskan Kerajaan Perpaduan masih kukuh lagi sokongan dua pertiga Ahli Parlimen.
Dalam nada sinis, beliau menasihatkan mereka yang terlibat supaya bersabar menunggu sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 jika berhajat mahu menukarkan kerajaan sedia ada.
Pada masa sama, beliau tidak menyifatkan usaha dilakukan oleh kumpulan itu sebagai baik berdasarkan pengalaman ketika pertukaran kerajaan beberapa kali pada penggal lalu.
Bahkan Ahmad Zahid menegaskan bahawa beliau tetap ‘husnuzon’ atau bersangka baik dengan percubaan mereka itu kerana sedar sukar disebabkan ada Akta Anti-Lompat Parti.
Justeru, beliau menyeru kumpulan berkenaan akur kerana sebarang keputusan peralihan sokongan perlu dilakukan secara ‘en-bloc’ dan bukan lagi hanya ada akuan bersumpah.
Rakyat ujar beliau, sudah memberikan mandat kepada parti untuk memberi dokongan Ahli Parlimen yang dipilih dan tumpuan kini seharusnya lebih kepada kesejahteraan negara.
“Keutamaan kita sepatutnya untuk membangunkan negara terutama dari segi kemajuan ekonomi dan kemakmuran secara melata kepada rakyat, bukan lagi soal politik,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
