Fahmi Beri Amaran Terakhir Kepada Syarikat Culas, Gagal Siapkan Menara Telekomunikasi

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bersama para pemenang cabutan bertuah pada program Karnival Kita MADANI peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Foto Facebook Jabatan Penerangan KL

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Fahmi Fadzil memberi amaran terakhir terhadap syarikat yang culas, lewat dan gagal menyiapkan projek pembinaan menara telekomunikasi bagi Inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 di Sabah dan Sarawak.

Menteri Komunikasi berkata syarikat terbabit perlu segera menyiapkan menara itu kerana ini membabitkan wang rakyat dan bukannya projek komersial.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berucap merasmikan Karnival Kita MADANI peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Foto Facebook Jabatan Penerangan KL

“Mereka telah mendapat ‘signal’ (isyarat) yang jelas daripada saya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Timbalan Menteri dan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi, sekiranya dalam bulan-bulan yang akan datang, mereka tidak menepati garis masa yang mereka sendiri telah tentukan, maka kita akan ambil tindakan tegas.

“Ada dalam kalangan mereka telah mendapat kontrak sejak Januari 2022, tempoh pembinaan menara sembilan bulan tetapi kita telah jauh melepasi tempoh tersebut. Setiap negeri ada dua ke empat syarikat yang terbabit,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kita MADANI peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, di sini hari ini.

Fahmi turut mendedahkan terdapat juga syarikat yang sudah menyiapkan menara telekomunikasi sebanyak 50 ke 60 peratus namun masih di belakang jadual pembinaan yang ditetapkan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bersama para pemenang cabutan bertuah pada program Karnival Kita MADANI peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Foto Facebook Jabatan Penerangan KL

“Ada yang dah 80 peratus. Semua ini kita beri tumpuan kerana rakyat Sabah dan Sarawak, khususnya Ahli Parlimen mereka.

“Bila Parlimen bersidang hujung Jun nanti, (Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak) akan bertanyakan statusnya. Kita tidak mahu isu ini berpanjangan, kita ingin pastikan menara-menara ini disiapkan segera,” katanya.

Minggu lalu beliau melawat beberapa projek di Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna bagi menilai kemajuan projek telekomunikasi menerusi inisiatif JENDELA Fasa 1 dan ada di antaranya menunjukkan perkembangan positif bagi manfaat rakyat di kawasan terbabit.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *