EU Kecam Israel Bina Lima Pos Penempatan Haram Di Tebing Barat

Penempatan haram Israel Maale Adumim di Tebing Barat yang diduduki di pinggir Baitulmaqdis. Foto AFP
BRUSSELS, 30 Jun – Kesatuan Eropah (EU) mengutuk sekeras-kerasnya pengumuman oleh Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, bahawa lima pos penempatan akan dibenarkan di wilayah Palestin yang diduduki.
Dalam satu kenyataan, jurucakap EU, Peter Stano berkata ini adalah satu usaha yang disengajakan untuk menggugat usaha perdamaian.
Pada Majlis Eropah minggu ini, Stano berkata pemimpin EU mengutuk keputusan Kerajaan Israel untuk mengembangkan penempatan haram di seluruh Tebing Barat yang diduduki dan menggesa Israel untuk membatalkan keputusan-keputusan itu.
“Selaras dengan pendirian bersama dan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), EU tidak akan mengiktiraf perubahan terhadap sempadan 1967 kecuali disepakati oleh pihak yang terlibat.
“EU mengulangi bahawa tindakan melemahkan kuasa Palestin harus dihentikan dan menyeru Israel untuk melepaskan sekatan kewangan dan mengambil langkah yang diperlukan untuk memastikan perkhidmatan perbankan koresponden antara bank-bank Israel dan Palestin tetap beroperasi,” katanya.
Stano menegaskan, EU mengesahkan semula komitmennya yang teguh kepada keamanan yang kekal dan mampan selaras dengan revolusi berkaitan UNSC sebagai asas penyelesaian dua negara dalam menangani konflik.
Pada Khamis, Kabinet Israel meluluskan langkah-langkah yang dicadangkan oleh Smotrich untuk ‘mengesahkan’ pos penempatan di Tebing Barat.
Pos penempatan adalah komuniti kecil yang didirikan oleh peneroka haram Israel di atas tanah Palestin yang dimiliki secara peribadi. – Bernama
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


