England Buktikan Bukan ‘Menang Nasib’, Sepanyol Belasah Georgia 4-1

Aksi Jude Bellingham menjaringkan gol pertama pasukan dalam perlawanan Euro 2024 pusingan 16 antara England dan Slovakia di Arena AufSchalke, Gelsenkirchen, Jerman, 30 Jun 2024. Foto Reuters

BERLIN, 1 Jul – Jaringan minit akhir Jude Bellingham menjadi pencetus kepada kebangkitan England untuk menyingkirkan cabaran Slovakia 2-1 di Arena AufSchalke di Galsenkirchen, awal pagi tadi.

Separuh masa pertama menyaksikan England mendominasi aksi pusingan kalah mati tetapi sukar menembusi benteng pertahanan Slovakia yang lebih berdisiplin semasa bertahan.

Jaringan pembukaan Slovakia hadir menerusi Ivan Schranz pada minit ke-25 menewaskan Jordan Pickford untuk memberikan England tekanan dengan ketinggalan 0-1 serta mengumpul empat kad kuning akibat melakukan kekasaran.

Phil Foden hampir menyamakan kedudukan buat skuad The Three Lions pada awal separuh masa kedua tetapi Video Bantuan Pengadil (VAR) menjadi penghalang selepas dia jelas berada dalam kedudukan ofsaid.

Peluang terbaik anak buah Gareth Southgate hadir pada minit ke-80 apabila sepakan Declan Rice sekadar menerjah palang gol dan gagal disambar kemas oleh Harry Kane.

Begitupun, ketika aksi masih berbaki satu minit, jaringan Jude Bellingham pada minit kecederaan ke-95 menerusi sepakan gunting memastikan perlawanan terikat 1-1 dan membawa aksi kalah mati ke masa tambahan.

Pemain Sepanyol, Dani Olmo meraikan jaringan ketika aksi 16 terakhir Euro 2024 menentang Georgia di Stadium Cologne, Cologne. Foto Reuters

Tandukan Harry Kane memastikan peluang England melangkah ke pusingan suku akhir semakin terbuka sekali gus mendahului Slovakia 2-1 untuk pertama kali.

Keputusan 2-1 kekal hingga wisel penamat sekali gus membawa cabaran England melangkah ke pusingan seterusnya dan bakal menentang Switzerland yang mengejutkan juara bertahan, Itali.

Sementara itu pada aksi di Cologne pula, Sepanyol bangkit daripada ketinggalan hasil jaringan sendiri Robin Le Normand untuk menewaskan Georgia 4-1 pada aksi 16 terakhir Euro 2024 dan mara ke suku akhir bertemu tuan rumah, Jerman.

Selepas berjaya menangkis serangan awal Sepanyol, dengan penjaga gol Giorgi Mamardashvili sekali lagi beraksi cemerlang menyelamatkan deretan percubaan lawan, Georgia membuat kejutan apabila mendahului permainan menerusi serangan pertamanya pada minit ke-18.

Hantaran lintang Otar Kakabadze ditampan oleh pertahanan Sepanyol, Le Normand ke gawang sendiri.

Sepanyol kembali menyamakan kedudukan menerusi Rodri pada minit ke-39 dan Khvicha Kvaratskhelia hampir menewaskan penjaga gol, Unai Simon dari tengah padang tetapi tersasar.

Sepanyol sebaliknya mendahului permainan menerusi Fabian Ruiz pada minit ke-51, diikuti jaringan Nico Williams dan Dani Olmo untuk kemenangan selesa. – Reuters

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *