ETS Ekspress KL-Ipoh Di Luar Musim Perayaan Dibincang

ETS Ekspress laluan Kuala Lumpur-Ipoh di luar musim perayaan akan dibincang kata Kementerian Pengangkutan. Foto Arkib

IPOH, 8 Feb – Kementerian Pengangkutan (MoT) sedang berbincang dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk mewujudkan semula operasi perkhidmatan khas tren ETS Ekspress KL-Ipoh di luar musim perayaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata inisiatif yang memendekkan tempoh perjalanan iaitu hanya dua jam, berbanding waktu perjalanan biasa dua jam 40 minit itu bagaimanapun hanya boleh dilaksanakan selepas projek naik taraf Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 1 (KVDT1) yang dijangka selesai akhir Mac ini.

Beliau berkata, menerusi perbincangan itu tren ekspres mungkin boleh juga beroperasi di luar musim perayaan iaitu pada hari biasa setiap hari dengan kekerapan perjalanan sekurang-kurangnya satu atau dua tren sehari.

“Dulu memang tren elektrik (ETS) ada tren ekspres membabitkan perjalanan dua jam antara Kuala Lumpur dengan Ipoh, tetapi disebabkan adanya kekangan di Lembah Klang susulan naik taraf melalui KVDT1, selepas ini kita boleh lihat kepada bagaimana untuk perbaiki kadar efisyen dan kekerapan tren.

ETS Ekspress laluan Kuala Lumpur-Ipoh di luar musim perayaan akan dibincang kata Kementerian Pengangkutan. Foto Arkib

“Jadi perkara itu mungkin boleh termasuk dalam perbincangan lanjut kita bersama KTMB iaitu jika boleh diadakan tren ekspres sewaktu musim perayaan dan mungkin juga untuk di hari biasa pun kita boleh lakukan sekurang-kurangnya untuk satu atau dua tren sehari,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran Sistem Pembayaran Terbuka KTMB & Edaran Pek Cenderahati Tahun Baharu Cina (TBC) kepada penumpang tren ETS Ekspres KL-Ipoh di pekarangan Stesen KTMB Ipoh, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; EXCO Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Ketua Pegawai Korporat KTMB, Suhaimi Yaacob.

Anthony berkata, pewujudan semula perkhidmatan ekspres itu akan membantu mereka yang sering berulang – alik dalam sehari antara dua bandar berkenaan, khususnya untuk memendekkan tempoh perjalanan.

Sementara itu, Anthony berkata, inisiatif melalui pelancaran penggunaan Sistem Pembayaran Terbuka (SPT) membolehkan pengguna menggunakan pelbagai mod pembayaran bagi pembelian atas talian, mesin kiosk, tiket di kaunter dan terkini di pintu kawalan automatik (ACG).

“SPT yang dibangunkan pihak KTMB sejak 2019 mendukung Teras Strategik Pendigitalan Kementerian Pengangkutan 2021-2025 yang menyasarkan pencapaian holistik dan menyeluruh bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.

“Melalui SPT terkini, ia membolehkan pengguna menggunakan perkhidmatan KTMB tanpa tiket khususnya perkhidmatan KTM Komuter dengan hanya menyentuh kad debit atau kad kredit di pintu kawalan automatik,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *