Erdogan Angkat Sumpah Jawatan Presiden Turkiye Hari Ini

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya di wilayah Kisikli di Istanbul selepas disahkan menang pemilihan presiden Turkiye. - Foto AFP

ANKARA, 3 Jun – Recep Tayyip Erdogan yang memenangi pusingan kedua Pilihan Raya Presiden Turkiye hujung minggu lalu, dijangka mengangkat sumpah memperbaharui jawatan disandangnya hari ini.

Pemimpin paling lama Turkiye itu kemudian dijadual mengumumkan senarai Kabinetnya yang dijangka memberi isyarat perubahan kepada program ekonominya yang tidak ortodoks.

Erdogan memperoleh 52.2 peratus sokongan dalam undian pada 28 Mei. Kemenangannya dalam pilihan raya mengiyakan ramalan kebanyakan tinjauan pendapat dan meskipun di sebalik krisis kos sara hidup yang dilihat melemahkan peluangnya.

Mandat baharu selama lima tahun ini membolehkan Erdogan meneruskan dasar yang semakin autoritarian yang mempolarisasi negara anggota NATO itu, serta mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa tentera serantau.

Parlimen baharu bersidang semalam dan Erdogan akan memulakan penggal baharunya secara rasmi dengan mengangkat sumpah kira-kira jam 3 petang hari ini dalam perhimpunan agung di Ankara.

Ia akan diikuti upacara di istana presiden yang dihadiri pegawai peringkat tinggi dari 78 negara dan organisasi antarabangsa, termasuk Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg; Presiden Venezuela Nicolas Maduro; Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban dan Perdana Menteri Armenia, Nikol Pashinyan, menurut Agensi Anadolu yang dikendalikan kerajaan.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya di wilayah Kisikli di Istanbul selepas disahkan menang pemilihan presiden Turkiye. – Foto AFP

Pada sebelah malam pula, Erdogan dijadual menamakan barisan menteri yang akan menganggotai Kabinet baharunya.

Erdogan hampir pasti akan memasukkan bekas ketua ekonomi, Mehmet Simsek dalam Kabinet baharunya, lapor Reuters awal minggu ini, yang akan menandakan potensi kembali kepada ekonomi lebih ortodoks termasuk akhirnya mengundang kenaikan kadar faedah.

Simsek dipandang tinggi pelabur susulan pengalamannya berkhidmat sebagai menteri kewangan dan timbalan perdana menteri antara 2009 dan 2018.

Erdogan, 69, menjadi Perdana Menteri pada 2003 selepas Parti AK diterajuinya memenangi pilihan raya pada akhir 2002 berikutan krisis ekonomi terburuk Turkiye sejak 1970-an.

Pada 2014 beliau menjadi Presiden pertama dipilih secara popular di negara itu dan dipilih semula pada 2018 selepas memperoleh kuasa eksekutif baharu untuk jawatan Presiden dalam referendum 2017.

– REUTERS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *