Akmal Tewaskan Sanusi 3-2 Dalam Perlawanan Bola Sepak DUN Sungai Bakap

Pasukan pilihan Akmal Nasrullah (jersi putih) berjaya menewaskan pasukan Sanusi pada perlawanan persahabatan di Padang Bolasepak Taman Pekatra, Simpang Empat pada petang Ahad. Foto KEADILAN

NIBONG TEBAL, 30 Jun – Pasukan pilihan Pengarah Strategi KEADILAN, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berjaya menewaskan pasukan pilihan Ketua Pengarah Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan jaringan 3-2 pada satu aksi persahabatan bola sepak di Padang Bolasepak Taman Pekatra, Simpang Empat, dekat sini pada petang Ahad.

Perlawanan persahabatan yang diadakan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap itu berjaya menarik perhatian lebih 500 penyokong daripada PH dan Perikatan Nasional (PN).

Pasukan pilihan Akmal Nasrullah terlebih dahulu berada di hadapan 1-0 hasil jaringan Akmal Nasrullah sendiri untuk menggembirakan penyokong mereka.

Pasukan pilihan Sanusi yang dibarisi beberapa pemain seperti wakil rakyat, Exco Kedah dan bekas pemain seperti Baddrol Bakhtiar, Muhammad Radhi Mat Din, Salleh Saidin, Helmi Heliza Alias dan Nelson Sam Martin berusaha untuk menyamakan kedudukan.

Mereka berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Baddrol yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun.

Tersentak dengan jaringan tersebut, pasukan pilihan Akmal Nasrullah yang juga dibarisi pemain campuran seperti Exco Pulau Pinang, Fahmi Zainol dan bekas pemain seperti Faiz Subri, Merzagua Abderazak dan Norshahrul Idlan Talaha pula kembali menyusun permainan memburu jaringan.

Pasukan pilihan Akmal Nasrullah (jersi putih) berjaya menewaskan pasukan Sanusi pada perlawanan persahabatan di Padang Bolasepak Taman Pekatra, Simpang Empat pada petang Ahad. Foto KEADILAN

Faiz kembali meletakkan pasukan pilihan Akmal Nasrullah di hadapan 2-1 hasil gerakan menarik rakan pasukannya sebelum berjaya disudahkan oleh penerima anugerah Puskas FIFA 2016 itu.

Bermula separuh masa kedua pula, Nor Shahrul terus selesa meletakkan pasukan pilihan Akmal Nasrullah di hadapan 3-1.

Pasukan pilihan Sanusi kemudiannya melakukan pertukaran pemain untuk meningkatkan tempo serangan.

Pasukan pilihan Akmal Nasrullah (jersi putih) bergambar bersama pasukan pilihan Sanusi (jersi biru) sebelum perlawanan persahabatan di Padang Bolasepak Taman Pekatra, Simpang Empat pada petang Ahad.

Hasilnya, mereka berjaya merapatkan jurang kepada 3-2 menerusi Baddrol selepas penjaga gol pasukan lawan melakukan kesilapan mudah di hadapan gol sebelum dimanfaatkan oleh bekas pemain kebangsaan itu.

Pasukan pilihan Sanusi terus menggandakan asakan, namun pasukan pilihan Akmal Nasrullah berjaya bertahan dan keputusan 3-2 kekal sehingga ke wisel penamat.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *