Empat Lagi Maut Serangan Rusia Di Donetsk, Kharkiv

Serangan ke atas loji janakuasa di Donetsk menyebabkan 15 maut dan berpuluh lagi cedera pada 17 Julai 2025. Foto Ukrainian State Emergency Service / AFP - Getty Images

KYIV, 14 Sep – Serangan Rusia di Ukraine menyaksikan sekurang-kurangnya empat orang terbunuh termasuk tiga di wilayah Donetsk dan seorang lagi di Kharkiv, lapor Kyiv Independent.

Serangan udara Moscow turut mencetuskan tindak balas di beberapa negara jiran. Romania mengesahkan sebuah dron Rusia melanggar ruang udaranya ketika serangan terhadap infrastruktur Ukraine, memaksa jet pejuang F-16 dikerahkan.

Menteri Pertahanan, Ionut Mosteanu, berkata pesawat itu hampir menembak jatuh dron berkenaan yang terbang rendah sebelum ia berpatah balik ke Ukraine.

Di Poland, pihak berkuasa menutup lapangan terbang di bandar Lublin dan mengerahkan pesawat tempur berikutan ancaman serangan dron. Tindakan itu diambil hanya tiga hari selepas Warsaw menembak jatuh dron Rusia di ruang udaranya dengan sokongan pesawat NATO.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Rusia mendakwa tenteranya berjaya menawan daerah Novomykolaivka di wilayah Dnipropetrovsk, tenggara Ukraine.

Di wilayah Bashkortostan, Rusia, dua dron Ukraine dilaporkan menyasarkan kompleks penapisan minyak utama milik Bashneft, anak syarikat Rosneft. Serangan itu mencetuskan kebakaran kecil namun operasi tetap diteruskan, kata Gabenor Radiy Khabirov.

Anggota penyelamat tempatan sedang mengalihkan runtuhan bangunan untuk mencari mangsa. Foto Reuters

Selain itu, satu letupan bom di landasan kereta api di wilayah Oryol menyebabkan dua maut dan seorang cedera. Rangkaian kereta api Rusia sejak kebelakangan ini berulang kali berdepan gangguan termasuk kebakaran dan letupan yang sering dikaitkan oleh pihak berkuasa dengan sabotaj Ukraine.

Kementerian Pertahanan Rusia turut mendakwa tenteranya menembak jatuh 340 dron Ukraine dalam tempoh 24 jam lalu, selain menyerang fasiliti operasi dron jarak jauh milik Kyiv.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *