Ekosistem MADANI Mart Bantu Rakyat, Kurangkan Tekanan Pasaran

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada perasmian kedai runcit MADANI Mart Indera Mahkota 8 (IM8) di Kuantan dan meninjau suasana rakyat untuk membeli barangan keperluan harian pada 3 April 2026. Foto PMO

PENDAPAT, 5 Apr – Dalam keadaan dunia masih bergelut dengan ketidaktentuan ekonomi, konflik di Asia Barat, krisis tenaga global dan kenaikan harga barangan, kerajaan memperkenalkan inisiatif baharu, MADANI Mart.

Cawangan pertama dibuka secara rasmi di Indera Mahkota 8, Kuantan, kelmarin dan disasarkan berkembang kepada 640 cawangan di seluruh negara dalam tempoh dua tahun.

Namun seperti biasa, sebelum sempat inisiatif ini diuji sepenuhnya, pelbagai tuduhan dan kecaman mula dilemparkan.

Tuduhan MADANI Mart hanyalah ‘ciplak’ Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan ada menyifatkan kerajaan ‘sibuk berniaga’ dan mewujudkan konflik kepentingan tidak berasas.

Ada menuduh MADANI Mart hanyalah ‘ciplak’ Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M). Malah, ada menyifatkan kerajaan ‘sibuk berniaga’ dan mewujudkan konflik kepentingan.

Hakikatnya, banyak kecaman dibuat secara liar. Jika dianalisis secara objektif, MADANI Mart mempunyai model, struktur dan matlamat berbeza sama sekali daripada KR1M.

MADANI Mart diperkenalkan ketika rakyat berhadapan dengan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat. Walaupun kerajaan masih mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter dan menanggung subsidi besar, kesan kenaikan kos import, logistik dan harga makanan dunia tetap dirasai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada perasmian kedai runcit MADANI Mart Indera Mahkota 8 (IM8) di Kuantan dan meninjau suasana rakyat untuk membeli barangan keperluan harian pada 3 April 2026. Foto PMO

Dalam situasi ini, kerajaan tidak boleh hanya bergantung kepada dasar subsidi. Kerajaan perlu menyediakan saluran terus yang dapat membawa barang keperluan kepada rakyat dengan harga lebih rendah dan stabil.

Atas sebab itu, MADANI Mart diwujudkan untuk menawarkan barangan asas pada harga rahmah yang lebih murah berbanding pasaran, menjamin bekalan barang keperluan di luar bandar dan separa bandar serta mewujudkan rangkaian peruncitan komuniti lebih tersusun dan dekat dengan rakyat.

Konsep ini bukanlah pelik. Banyak negara mempunyai rangkaian kedai komuniti, koperasi atau pasar rakyat disokong kerajaan atau yayasan sosial bagi menstabilkan harga barang. Di Jepun terdapat koperasi pengguna, manakala pasar komuniti di Korea Selatan dibantu kerajaan tempatan dan di beberapa negara Eropah, wujud rangkaian kedai sosial untuk membantu golongan berpendapatan rendah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada perasmian kedai runcit MADANI Mart Indera Mahkota 8 (IM8) di Kuantan dan meninjau suasana rakyat untuk membeli barangan keperluan harian pada 3 April 2026. Foto PMO

Bukan kedai milik kerajaan

MADANI Mart ialah kedai runcit komuniti diterajui Yayasan MADANI. Ia bukan kedai milik kerajaan secara langsung dan bukan juga syarikat milik menteri atau parti politik.

Dalam model ini, premis dikendalikan operator tempatan atau rakan strategik, manakala Yayasan MADANI berperanan membantu dari segi penyelarasan, penjenamaan dan jaringan pembekal. Barangan pula dijual pada harga lebih rendah melalui konsep harga rahmah dengan tumpuan khusus diberikan kepada kawasan luar bandar, separa bandar dan kawasan kurang akses kepada pasar raya besar.

Berbeza dengan dakwaan bahawa kerajaan ‘sibuk berniaga’, peranan kerajaan sebenarnya lebih kepada memudah cara dan menyelaras ekosistem supaya rakyat memperoleh barang keperluan dengan harga lebih rendah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada perasmian kedai runcit MADANI Mart Indera Mahkota 8 (IM8) di Kuantan dan meninjau suasana rakyat untuk membeli barangan keperluan harian pada 3 April 2026. Foto PMO

Sama seperti kerajaan menyediakan Klinik MADANI, Menu Rahmah atau Jualan Rahmah, MADANI Mart ialah satu lagi instrumen dasar sosial untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup.

Tuduhan bahawa MADANI Mart hanyalah KR1M dijenamakan semula tidak tepat dari sudut fakta. Dalam KR1M, kerajaan membayar kos ubah suai, membeli stok, membiayai operasi dan menanggung risiko kerugian. Sebab itulah, KR1M akhirnya mengalami kerugian lebih RM100 juta.

Sebaliknya dalam pelaksanaan MADANI Mart, kerajaan tidak mengeluarkan modal, membeli stok atau menanggung kos operasi harian. Sebaliknya, model digunakan lebih fleksibel dan jauh kurang berisiko berbanding pendekatan terdahulu. Dengan kata lain, jika KR1M ialah model ‘kerajaan berniaga’, maka MADANI Mart ialah model ‘kerajaan menyelaras dan memudah cara’.

Tuduhan bahawa wujud konflik kepentingan kerana pemimpin kerajaan terbabit dalam Yayasan MADANI juga tidak berasas. Konflik kepentingan hanya berlaku jika seseorang menggunakan jawatan awam untuk mendapatkan keuntungan peribadi, saham, komisen atau manfaat kewangan langsung.

Orang ramai mengunjungi kedai runcit MADANI Mart Indera Mahkota 8 (IM8) di Kuantan untuk membeli barangan keperluan harian.

Sebaliknya, tiada mana-mana menteri atau pegawai kerajaan memiliki saham peribadi dalam MADANI Mart dan tiada keuntungan kedai dimasukkan ke dalam akaun peribadi individu. Begitu juga tiada kontrak diberikan kepada syarikat milik kroni.

Tak boleh dianggap konflik kepentingan

Sebaliknya, MADANI Mart dilaksanakan melalui sebuah yayasan mempunyai matlamat sosial, iaitu membantu rakyat mendapatkan barang lebih murah. Dalam banyak negara, yayasan berkaitan dengan kerajaan atau tokoh awam memang digunakan untuk melaksanakan program sosial.

Selagi dana direkodkan secara telus, akaun diaudit, transaksi dipantau dan tiada keuntungan peribadi diperoleh mana-mana individu, maka pelaksanaan MADANI Mart tidak boleh dianggap sebagai konflik kepentingan.

Ada juga persoalan mengapa harga murah tidak terus diberikan kepada seluruh negara dan mengapa perlu melalui MADANI Mart. Jawapannya mudah, iaitu kerana kerajaan tidak mempunyai kuasa memaksa semua kedai, pasar raya dan pemborong menjual barang pada harga tertentu sepanjang masa.

Malaysia bukan negara ekonomi berpusat sepenuhnya. Harga kebanyakan barang ditentukan pelbagai faktor seperti kos import, kos logistik, kos pengangkutan, margin keuntungan peruncit dan harga yang ditetapkan pemborong.

Apa yang boleh dilakukan kerajaan adalah memberikan subsidi, mengawal harga barang tertentu, mewujudkan saluran alternatif seperti Jualan Rahmah dan MADANI Mart serta menggunakan kuasa pembelian secara pukal bagi menawarkan harga lebih murah kepada rakyat. MADANI Mart ialah satu daripada saluran terbabit.

Sama seperti Jualan Rahmah tidak bermaksud semua pasar raya wajib menjual harga sama, kewujudan MADANI Mart juga bertujuan menjadi penanda aras dan pesaing kepada pasaran supaya peniaga lain turut menurunkan harga.

Jika MADANI Mart berjaya menawarkan harga lebih rendah, pengguna akan memilihnya. Tekanan pasaran akhirnya boleh memaksa peniaga lain menawarkan harga lebih kompetitif.

Justeru, kewujudan MADANI Mart sebagai inisiatif kerajaan untuk mencari pendekatan lebih murah, fleksibel dan kurang membebankan kewangan negara dalam membantu rakyat menghadapi kos sara hidup seharusnya diberi sokongan penuh.

Dr Mazlan Che Soh merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *