DUN Puteri Wangsa: AMK Johor Tegur Amanah

Faezuddin Puad berkata, soal pembahagian kerusi perlu ditentukan secara rasional dengan mengambil kira kekuatan jentera, gerak kerja di lapangan, serta kebolehan memenangi hati pengundi.

JOHOR BAHRU, 5 Mac – Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor menegaskan, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa tidak seharusnya dilihat sebagai mutlak atau milik kekal mana-mana parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Ketuanya, Faezuddin Puad berkata, soal pembahagian kerusi perlu ditentukan secara rasional dengan mengambil kira kekuatan jentera, gerak kerja di lapangan, serta kebolehan memenangi hati pengundi.

“Kita harus berhenti bernostalgia dan tumpu kepada realiti sebenar di lapangan. Dalam masa sama, kita perlu mengakui bahawa pengundi hari ini semakin bijak menilai.

Kenyataan media AMK Johor yang menegur Amanah Johor pada 5 Mac 2026. Foto Facebook Faezuddin Puad

“Mereka tahu membezakan antara pihak yang benar-benar konsisten berkhidmat dengan pihak yang hanya muncul apabila pilihan raya semakin hampir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sekiranya perkara itu tidak diambil kira dengan serius dan diurus dengan cermat, bimbang akan berlaku penolakan terhadap calon atau parti yang dilihat sebagai payung terjun dan tidak berakar di kawasan.

Terdahulu Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr Zuhan Zain dilaporkan berkata, pihaknya akan mengambil semula semula kerusi DUN Puteri Wangsa yang sebelum ini ‘dipinjamkan’ kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Menurut beliau, tiada rundingan politik sedang atau akan diadakan antara dengan Amanah Johor dengan MUDA.

Ketua Amanah Kawasan Kluang itu berkata, Amanah Johor ‘menuntut semula’ kerusi itu susulan tindakan MUDA yang menarik sokongan terhadap kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, apa yang tidak diceritakan ialah KEADILAN menyerahkan kerusi tersebut kepada Amanah atas semangat dalam PH tetapi Amanah pula yang menyerahkannya kepada MUDA tanpa persetujuan KEADILAN.

Pada PRN Johor bagi DUN Puteri Wangsa, MUDA menerusi Pemangku Presidennya, Amira Aisya Abd Aziz menang dengan majoriti 7,114 undi dalam pertandingan enam penjuru.

Amira Aisya yang ketika itu merupakan Setiausaha parti itu, menewaskan Ng Yew Aik daripada Barisan Nasional (BN), Dr Khairil Anwar Razali (Parti Pejuang Tanah Air), Loh Kah Yong (Perikatan Nasional), Steven Choong Shiau Yoon (Parti Bangsa Malaysia) dan Adzrin Adam (Bebas).

MUDA ketika itu menang kerusi tersebut atas sokongan PH meskipun tidak menyertai gabungan politik berkenaan ketika itu, namun bersetuju mengadakan pakatan pilihan raya (electoral pact) menghadapi PRN Johor.

MUDA kemudian menyertai kerajaan Perpaduan sebelum mengumumkan keluar daripada kerajaan pimpinan PH pada 2023 sebagai tanda protes terhadap tindakan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuahnya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *