‘Duit Raya’ RM1,000 Buat Penggali Kubur Negeri Sembilan

SEREMBAN, 11 Apr – Para penggali kubur di Negeri Sembilan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun atas sumbangan RM1,000 buat mereka sempena Aidilfitri tahun ini.
Norazam Ahmad, 56, yang bertugas sebagai penggali kubur di Masjid Lenggeng, berkata selama ini beliau tidak pernah menerima inisiatif sebegitu meskipun sudah melakukan pekerjaan berkenaan lebih 15 tahun.
“Selama ini kami sebagai penggali kubur terasa seperti diabaikan dan hanya dipanggil apabila ada keperluan.
“Insentif yang diberikan kerajaan negeri ini sangat bermakna buat saya dan rakan lain yang sama-sama memberikan perkhidmatan sebagai penggali kubur.
“Saya ucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada Menteri Besar yang sangat prihatin dengan perkhidmatan diberikan sebagai penggali kubur,” katanya ketika ditemui di sini, pada Isnin.
Sementara Ali Manan, 74, dari Paroi pula menyifatkan insentif RM1,000 yang diterimanya menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini sebagai satu peristiwa bersejarah.
Beliau yang sudah terbabit dengan tugas itu kira-kira 20 tahun mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar yang menyediakan insentif berkenaan.
“Saya berharap insentif dan bantuan seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai penghargaan kepada penggali kubur,” katanya yang mengakui masih bertenaga untuk meneruskan khidmat itu walaupun berstatus warga usia emas.
Sementara itu, Aminuddin dalam satu kenyataan memaklumkan kerajaan negeri menyediakan insentif bayaran sekali sebanyak RM1,000 kepada penggali kubur di NS yang membabitkan peruntukan berjumlah RM900,000, tahun ini.
“Usaha ini adalah sebagai tanda kasih sayang dan penghargaan kepada penggali kubur yang sentiasa berkhidmat tanpa mengira waktu,” katanya hari ini.
Ketika ini terdapat kira-kira 900 penggali kubur di Negeri Sembilan.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar berkata, kerajaan negeri menerusi Menteri Besar Diperbadankan (MBI) memperuntukkan sebanyak RM1.36 juta bagi membantu 4,524 asnaf fakir dan miskin di negeri ini sempena Ramadan dan Aidilfitri tahun ini.
Katanya, sumbangan terbabit adalah hasil daripada projek tanaman kelapa sawit dan getah di atas tanah seluas 2,488.97 hektar antara MBI dengan Felcra Berhad.
“Asnaf fakir menerima sebanyak RM1,000 manakala asnaf miskin sebanyak RM800 bagi setiap keluarga,” katanya.
Ikuti platform media sosial rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan seperti berikut:
Facebook: https://fb.com/dsaminuddinharun
Twitter: https://twitter.com/dsaminuddin
Instagram: https://instagram.com/dsaminuddinharun
