Dua Mangsa Terakhir Bot Terbalik Berjaya Ditemukan

Keadaan bot terbalik yang berlaku di Tanjung Harapan, Klang pada Sabtu yang mengorbankan lebih lima nyawa setakat Sabtu.
KLANG, 8 Jun – Sepasang suami isteri yang hilang dalam insiden bot terbalik di perairan Tanjung Harapan di sini semalam akhirnya berjaya ditemui pagi ini.
Kesemua mereka difahamkan dipercayai tidak memakai jaket keselamatan ketika insiden berkenaan berlaku pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao berkata siasatan awal mendapati bot berkenaan sedang dipandu uji dan dikendalikan sendiri oleh pemiliknya.
Beliau berkata kegagalan memakai jaket keselamatan turut menyukarkan usaha mencari dan menyelamat (SAR) dua daripada enam mangsa dalam kejadian itu.
“Mereka yang menjalankan aktiviti di laut perlu memakai jaket keselamatan kerana ia amat penting ketika kecemasan seperti kejadian bot terbalik, selain memiliki kemahiran berenang,” katanya pada sidang media di lokasi pencarian di Tanjung Harapan pada Sabtu.
Vijaya berkata lokasi bot terbalik telah dikenal pasti, namun arus laut yang kuat dipercayai menghanyutkan dua mangsa yang masih hilang ke kawasan lain sebelum tenggelam.
Sementara itu, beliau berkata polis telah merakam keterangan daripada tiga individu, termasuk seorang mangsa yang terselamat.
“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 280 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang semalam, tiga individu termasuk seorang kanak-kanak maut, seorang terselamat iaitu Alvin Chang Yan Qin, 17.
Mangsa yang disahkan meninggal dunia ialah Darren Gan, 3; Cheu Son Hin, 50; dan Fong Yong Sen, 29, manakala yang hilang dikenal pasti sebagai Gan Hon Tat, 32, dan isterinya Careen Man, 29, kedua-duanya berasal dari Klang Utama.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

