‘Drama’ Tang Jie-Ee Wei Cemaskan Seketika Kem Badminton Negara

Aksi Tang Jie (kiri) dan Ee Wei berdepan ‘drama’ sebelum menarik nafas lega apabila berjaya bangkit dan memenangi aksi pusingan ketiga Kejohanan Dunia di Paris pada 28 Ogos 2025. Foto BAM
PARIS, 28 Ogos – Aksi sukar dihadapi beregu campuran nombor satu negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pada pusingan ketiga sebelum memastikan kemaraan ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Dunia 2025 di sini, sebentar tadi.
Pada perlawanan sengit yang berlangsung di Adidas Arena itu, pasangan nombor empat dunia itu dipaksa bekerja keras sebelum menang 14-21, 21-19, 21-17 ke atas Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu dari Indonesia.
Turun sebagai pilihan keempat kejohanan, Tang Jie-Ee Wei bagaimanapun tersentak di awal saingan apabila tewas 14-21 di set pertama sebelum bangkit pada set berikutnya, mencetuskan ‘drama’ debaran buat seketika kepada kontinjen negara.

Memasuki set penentuan, mereka masih berdepan aksi sukar memandangkan pemain lawan tidak berputus asa melakukan asakan demi asakan selain mengekori rapat kedudukan.
Bagaimanapun, aksi tenang membantu Tang Jie-Ee Wei mencatat kemenangan 21-17 di set ketiga bagi menempah pertemuan dengan beregu India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto di suku akhir esok.
“Memang kami gembira kerana perlawanan ini sangat sukar. Pemain lawan memberikan tekanan demi tekanan kepada kami, sebab itulah kami agak emosi tadi.
“Bagaimanapun, selepas ini kami akan mengharungi aksi suku akhir, jadi perlu kekal fokus dan mempersiapkan diri untuk perlawanan esok,” kata Tang Jie kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

