’Doakan Kesembuhan Atlet Kayak Yang Dilanggar Pemandu Mabuk’

Keadaan Siti Nurul Masyitah Elias (kiri) diharap bertambah baik selepas dilanggar pemandu mabuk dalam kemalangan di EDL Sabtu lalu. Foto Agensi

JOHOR BAHRU, 15 Mei – Semua pihak diseru mendoakan kesembuhan atlet kayak kebangsaan, Siti Nurul Masyitah Elias yang mengalami kecederaan parah selepas terbabit dalam satu kemalangan di sini beberapa hari lalu.

Siti Nurul Masyitah adalah pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2023 melalui acara berkayak perahu naga kini sedang menerima rawatan di Hospital Columbia Asia di Iskandar Puteri.

Kejadian berkenaan berlaku di Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL), Sabtu lalu apabila motosikal ditungganginya dirempuh dan diseret sejauh 100 meter oleh sebuah kereta dipercayai dipandu lelaki mabuk.

Keadaan Siti Nurul Masyitah Elias (kiri) diharap bertambah baik selepas dilanggar pemandu mabuk dalam kemalangan di EDL Sabtu lalu. Foto Agensi

Persatuan Pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Pelajar Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Pasir Gudang dalam kenyataan media berkata, berdasarkan rakaman papan kamera papan pemuka kereta berkenaan disyaki memandu dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum melanggar dan diseret.

“Kemalangan itu berlaku di EDL menuju ke Southkey. Mangsa sekarang dirawat dan mengalami kecederaan yang sangat serius.

“Mangsa sering berulang alik dari Politeknik ke rumah kerana menjaga ibu bapanya.

“Ibu mangsa mempunyai masalah tulang belakang akibat kemalangan manakala bapa mangsa tidak sihat dan perlukan rawatan dialisis. Mohon doakan kepada mangsa agar dipermudahkan segala urusan dan diberikan kesembuhan,” kata kenyataan berkenaan.

Hanya doa dan kata-kata semangat mampu memulihkan keadaan beliau dan diharap warganet dapat menyebarkan seruan ini hingga beliau pulih nanti.

Isu berkenaan kini tular di media sosial yang memaparkan beberapa keping gambar ketika kemalangan yang dikongsi termasuk foto seorang lelaki yang didakwa sebagai suspek sedang membuat isyarat ‘peace’.

Hantaran itu menerima pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

“Kenyataan media berkaitan kes ini akan dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *