DNB: Pegangan Ekuiti Dimuktamad Menjelang 21 Jun – Fahmi

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hadir pada mesyuarat untuk membincangkan secara menyeluruh rangka strategi serta pelan tindakan yang meliputi fungsi serta peranan empat kementerian utama ke arah pelaksanaan rangkaian kedua 5G (Dual Network) oleh Kerajaan. Foto Facebook Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR, 2 Jun – Syarikat telekomunikasi akan memuktamadkan pegangan ekuiti mereka dalam syarikat Digital Nasional Bhd (DNB) untuk rangkaian kedua 5G menjelang 21 Jun ini.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bagaimanapun berkata, pelaksanaan rangkaian itu akan mengambil sedikit masa.
“Kabinet khususnya Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) meminta supaya keempat-empat kementerian mengadakan mesyuarat penyelarasan untuk memastikan pelaksanaan rangkaian kedua (5G) yang telah diputuskan pada Mei lalu diteruskan dengan baik.
“Itulah sebabnya kami mengadakan mesyuarat, semalam. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.
“Hari ini, ada mesyuarat susulan antara DNB dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan saya lihat rata-rata syarikat telekomunikasi hampir atau telah bersedia untuk menandatangani atau menyiapkan pengambilan ekuiti dalam DNB.
“Kami menjangkakan ini akan berlaku menjelang 21 Jun ini,” katanya kepada pemberita selepas hadir di Kejohanan Badminton Junior ‘Road to NTC Paris’, hari ini.
Empat kementerian yang terbabit adalah Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital, Kementerian Kewangan serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Beliau menambah, jangka masa untuk melaksanakan rangkaian 5G kedua bergantung kepada perancangan perniagaan syarikat telekomunikasi.
“Ia berdasarkan kepada siapa yang masuk ke rangkaian kedua. Apakah pelan perniagaan mereka, apakah yang mereka rancang untuk membina atau menggunakan pakai menara sedia ada atau membina menara baharu,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
